Jadikan surah al-Fajr pupuk amalan bersedekah, elak korupsi

Jemaah di Masjid Bandar Bukit Raja bergambar bersama plakad yang diiberikan oleh pasukan Rasuah Busters selepas tazkirah Maghrib pada Sabtu. Gambar kecil: Fazrul Fahmee dan Md Nazri
Jemaah di Masjid Bandar Bukit Raja bergambar bersama plakad yang diiberikan oleh pasukan Rasuah Busters selepas tazkirah Maghrib pada Sabtu. Gambar kecil: Fazrul Fahmee dan Md Nazri
A
A
A

KLANG - Umat Islam dinasihatkan agar menjadikan surah al-Fajr sebagai panduan dalam membentuk dan membina sebuah komuniti yang bebas daripada kegiatan rasuah atau sifat khianat.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, menerusi surah tersebut ALLAH SWT telah menyebut kaedah yang perlu dilakukan bagi memastikan tiada pihak yang tertindas.

"ALLAH memberi peluang kepada umat Islam untuk membina negara dengan mengamalkan sikap memberi bantuan atau sumbangan kepada anak yatim, orang miskin dan golongan memerlukan.

"Kita perlu peka dengan keadaan komuniti sekeliling, bantu mereka yang susah kerana masalah yang dihadapi seseorang akan mendorong kepada kegiatan menerima rasuah dan mengambil hak orang lain tanpa kebenaran," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Masjid Bandar Bukit Raja pada Sabtu.

QR Code dibuka kepada orang ramai untuk slot tajaan atau infak Ramadan bagi Masjid Bandar Bukit Raja
QR Code dibuka kepada orang ramai untuk slot tajaan atau infak Ramadan bagi Masjid Bandar Bukit Raja

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah bagi slot kuliah Maghrib di sini, dengan menjadikan surah al-Fajr sebagai panduan.

Sementara itu, Nazir Masjid Bandar Bukit Raja, Md Nazri Mohamed Nor berkata, perkongsian berdasarkan surah itu menjadikan salah satu slot kuliah Maghrib berbeza daripada sebelum ini.

"Sangat menarik kerana kali pertama kita bawakan topik berkaitan isu (rasuah) yang sudah lama berada dalam negara dan bagaimana ia boleh dibendung dengan amalan memberi (sedekah).

Artikel Berkaitan:

"Pihak masjid antara institusi yang boleh membantu komuniti sekitar dengan memberikan bantuan kepada yang memerlukan bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara tidak diingini.

"Bagi pihak masjid, kami sudah memulakan program menyantuni empat kumpulan sasaran iaitu anak yatim, orang kurang upaya (OKU), golongan asnaf dan ibu tunggal yang tinggal di sekitar sini," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan orang ramai atau mana-mana syarikat untuk memberi tajaan bagi program Perkampungan Ramadan Musim ke-2 tahun ini.

Tambah Md Nazri, kos bagi satu slot tajaan bernilai RM50 membabitkan juadah berbuka puasa dan moreh (2730 slot), sahur untuk 12 malam (292 slot) dan kurma berjumlah RM3,000.

"Secara keseluruhan RM245,000 diperlukan untuk menjayakan program ini dan beberapa penambahbaikan akan dilakukan berdasarkan kekurangan yang berlaku pada tahun lepas.

"Bagi orang ramai atau mana-mana pihak yang mahu memberi sumbangan atau tajaan boleh menghubungi 012-8200523 (Ilham) atau 0196617585 (Latif) untuk maklumat lanjut.

"Bagi sumbangan wang tunai pula boleh diberi secara imbasan QR Code atau menerusi akaun Bank Islam Masjid Bandar Bukit Raja (12319010015276) dan nyatakan 'Ramadhan 1445H' dalam transaksi pembayaran," jelasnya.