Karnival Rakyat Pahang dibanjiri 200,000 pengunjung


Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat bersama rakyat pada Malam Karnival Rakyat Pahang di sini pada Sabtu. - Foto Pahang Media
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat bersama rakyat pada Malam Karnival Rakyat Pahang di sini pada Sabtu. - Foto Pahang Media
A
A
A

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Malam Karnival Rakyat Pahang di Dataran Sayangi Kuantan, di sini pada Sabtu.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Baginda berdua berkenaan menyaksikan persembahan perarakan kenderaan berhias, persembahan kebudayaan dan artis jemputan serta pertunjukan bunga api bersama lebih 50,000 pengunjung.

Sementara itu, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, secara keseluruhan kehadiran pengunjung pada malam kemuncak dan sepanjang Karnival Rakyat Pahang dari Jumaat hingga Ahad mencapai atau telah melebihi sasaran.

Menurutnya, sasaran 200,000 pengunjung sepanjang karnival sempena memuliakan keberangkatan pulang Sultan Pahang sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu telah tercapai atau lebih dari itu berdasarkan kepada sambutan acara-acara utama yang disediakan.

"Pada Malam Karnival Rakyat Pahang malam tadi (Sabtu) saya yakin pengunjung hadir lebih daripada sasaran 50,000.

Artikel Berkaitan:

Tengku Hassanal bersama jemaah menunaikan solat subuh sempena program Subuh Warrior, Geng Subuh Macam Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 di sini.
Tengku Hassanal bersama jemaah menunaikan solat subuh sempena program Subuh Warrior, Geng Subuh Macam Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 di sini.

"Pagi tadi kehadiran pengunjung termasuk peserta acara larian kemakmuran, kayuhan basikal dan sukan rakyat melebihi 5,000 orang.

"Itu tidak termasuk ribuan jemaah Subuh Warrior, Geng Subuh Macam Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 yang turut disertai Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah," katanya kepada media selepas menyertai Larian Kemakmuran Karnival Rakyat Pahang di sini pada Ahad.

Fadzli berkata, Tengku Mahkota Pahang itu turut berkenan berangkat berlari sejauh 10 kilometer bersama rakyat sempena larian itu.

"Sambutan cukup baik bermula dengan Program Himpunan Pendekar Pahang yang mengumpulkan lebih 500 ahli seni bela diri dan tayangan wayang pacak filem pagari bulan.

"Tuanku Sultan turut berangkat bersama-sama rakyat pada program itu diiringi Menteri Besar dan barisan pimpinan negeri," ujarnya.


Fadzli (tiga dari kiri) menyaksikan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mencuba sepak raga pada acara sukan rakyat selepas menyertai Larian Kemakmuran Karnival Rakyat Pahang di sini pada Ahad.
Fadzli (tiga dari kiri) menyaksikan Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mencuba sepak raga pada acara sukan rakyat selepas menyertai Larian Kemakmuran Karnival Rakyat Pahang di sini pada Ahad.

Tambah beliau, Program Aneka Juadah Pahang yang menyajikan makanan tradisi dari seluruh daerah di Pahang juga mendapat sambutan amat menggalakkan.

Jelas beliau, selain memuliakan keberangkatan pulang Sultan Pahang, karnival itu juga secara tidak langsung dapat mempromosikan pelancongan dan kebudayaan negeri Pahang.

"Justeru kemungkinan karnival ini akan dijadikan acara tahunan pada masa akan datang memandangkan banyak cadangan diterima untuk itu.

"Insya-ALLAH cadangan itu akan diperhalusi dan dibawa ke mesyuarat exco untuk dipertimbangkan," ujarnya.

Sementara itu, Fadzli turut berterima kasih dan menghargai sokongan rakyat yang sama menjayakan karnival yang julung kali diadakan itu