Terkejut ada saman sedangkan tarikh notis ada di rumah

Yusnita menunjukkan notis saman yang diterima nya
Yusnita menunjukkan notis saman yang diterima nya
A
A
A

SEREMBAN - Seorang penjawat awam mendakwa namanya disenarai hitam untuk memperbaharui cukai jalan atas kesalahan trafik yang tidak dilakukannya.

Menurut Yusnita Yusop, 50, dia hanya mengetahui perkara itu selepas gagal memperbaharui cukai jalan kereta Proton Persona miliknya di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedangkan tidak pernah menerima apa-apa notis saman.

"Pada 3 November lalu saya pergi ke kaunter JPJ di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ampangan untuk perbaharui cukai jalan, tapi saya diberitahu mempunyai rekod saman senarai hitam.

"Saya kemudian ke Cawangan Trafik Balai Polis Seremban untuk buat semakan dan diberitahu saman itu dikeluarkan di Sentul, Kuala Lumpur pada 8 Mac tahun lalu atas kesalahan membuat pusingan U sedangkan ketika tarikh tersebut saya ada di rumah bersama keluarga," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, dia turut membuat laporan polis untuk menafikan saman tersebut dan telah ke Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman serta Cawangan Trafik Jalan Bandar untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Bagaimanapun katanya, dia diberitahu perlu menunggu tempoh seminggu untuk menerima salinan notis saman dikeluarkan oleh polis.

Yusnita menunjukkan notis saman yang diterima nya
Yusnita menunjukkan notis saman yang diterima nya

"Saya nak tengok notis saman tulen yang dikeluarkan polis itu kerana saya tahu saya tak melakukan kesalahan dinyatakan.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga menafikan tandatangan pada notis saman itu adalah tandatangan saya," katanya yang turut membuat aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Tambahnya, isu yang timbul menyebabkan hidupnya menjadi sukar apabila bukan saja terpaksa memandu kenderaan dalam keadaan bimbang, malah terpaksa berulang alik ke Kuala Lumpur untuk mencari jalan penyelesaian atas apa yang berlaku.

Tegasnya, dia tiada masalah untuk menjelaskan saman tersebut sekiranya terbukti kesalahan itu dilakukannya.

"Kalau betul saya buat salah, saya tiada masalah nak bayar saman itu. Tapi sekarang ini saya tak buat apa-apa kesalahan dan bertegas tidak akan bayar saman itu.

"Saya diberitahu hanya ada dua cara saja untuk 'bersihkan' nama saya iaitu bayar saman itu atau pergi ke mahkamah untuk buktikan tidak bersalah,"katanya.

Disebabkan itu kata Yusnita, dia terpaksa laporkan kepada media dengan harapan kes tersebut mendapat perhatian pihak bertanggungjawab sekali gus siasatan lanjut dilakukan.

Ini kerana katanya, statusnya kini tergantung dan juga terpaksa memandu kenderaan tanpa cukai jalan serta ke mana-mana bergantung kepada laporan polis menafikan saman kesalahan trafik dilakukan.