Kempen dua hala bantu cegah rasuah penjawat awam

Kempen pencegahan rasuah boleh dibuat menerusi program berbentuk temu bual atau forum yang mana boleh membuka peluang kepada orang ramai memberikan pandangan secara terus. Gambar kecil: Badlishah Sham
Kempen pencegahan rasuah boleh dibuat menerusi program berbentuk temu bual atau forum yang mana boleh membuka peluang kepada orang ramai memberikan pandangan secara terus. Gambar kecil: Badlishah Sham
A
A
A

SHAH ALAM - Kempen pencegahan rasuah oleh kerajaan atau agensi terlibat perlu dilakukan secara dua hala antara penjawat awam dan orang ramai bagi meningkatkan kesedaran integriti dan tadbir urus dalam sesebuah organisasi.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, kempen berkenaan boleh dibuat menerusi program berbentuk temu bual atau forum yang mana boleh membuka peluang kepada orang ramai memberikan pandangan secara terus.

"Teruskan kempen kesedaran menolak rasuah di kalangan kakitangan kerajaan tetapi kali ini, minta maklum balas daripada orang awam tentang keberkesanannya.

"Setakat ini, kempen dilakukan hanya satu hala, buatkan dua hala supaya orang awam boleh memberikan maklum balas dan penilaian kepada jabatan kerajaan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, gaji bukan sebab utama menjadi punca anggota polis terlibat dengan rasuah, sebaliknya ia merupakan antara salah satu faktor menjerumuskan ke dalam kancah itu.

Ujarnya, perkara yang penting adalah dalam diri setiap anggota dan pegawai itu perlu ditanam sifat menolak rasuah.

Kata Razarudin, memang ada disebut berkaitan kadar gaji yang rendah, itu sebenarnya salah satu faktor jika dibandingkan dengan Singapura yang sememangnya bergaji tinggi dan polis di sana tiada rasuah, itu mengikut negaranya yang kecil.

"Sebaliknya di Malaysia, kita mempunyai 137,000 anggota serta pegawai dan akan bertambah menjadi lebih 140,000 kalau dicampur dengan kemasukan baharu pada tahun ini, itu salah satu darinya.

Artikel Berkaitan:

"Seandainya dikatakan soal gaji jadi faktor rasuah, ia boleh dilihat dari segi peratusan jumlah anggota pangkat rendah yang terlibat," katanya.

Menurutnya, gaji anggota turut berbeza dari segi taraf kehidupan mengikut kawasan mereka ditempatkan.

Sementara itu, kata Badlishah, kerajaan juga perlu bertindak melakukan reformasi institusi seperti pemisahan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya agar institusi penguatkuasaan menjadi lebih telus dan bebas.