KPM peluas prasekolah pastikan tiada keciciran murid

Fadhlina (tiga dari kanan) menyampaikan sijil graduasi kepada kanak-kanak di Majlis Apresiasi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Barat Daya dan Timur Laut di Dewan Sri Mutiara Raia Inn pada Ahad.
Fadhlina (tiga dari kanan) menyampaikan sijil graduasi kepada kanak-kanak di Majlis Apresiasi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Barat Daya dan Timur Laut di Dewan Sri Mutiara Raia Inn pada Ahad.
A
A
A

BAYAN LEPAS - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan (KPM) telah melakukan peluasan kepada prasekolah di bawah kementerian setiap tahun bagi memastikan enrolmen mencapai sehingga 90 peratus dalam usaha bagi memastikan tiada keciciran murid.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, peluasan prasekolah KPM berlangsung setiap tahun kerana permintaan yang terlalu tinggi selain kementerian mahu memastikan pendidikan percuma di peringkat prasekolah.

Menurutnya, ketika ini, sebanyak 9,909 kelas prasekolah di seluruh negara.

"Setiap tahun melakukan peluasan kepada prasekolah di bawah KPM. KPM menyambut agenda reformasi pendidikan dan khususnya terkait rapat dengan prasekolah walau pun Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat) bukan bawah KPM.

"Bagaimanapun, KPM telah pun melaksanakan penyelarasan itu, jadi Kemas, Tadika Perpaduan dan prasekolah di bawah KPM akan dibuat penyelarasan untuk beberapa perkara, khususnya memberikan tumpuan kepada isu pra sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Barat Daya dan Timur Laut di Dewan Sri Mutiara Raia Inn di sini pada Ahad.

Kata beliau, peluasan kelas prasekolah pada 2023 adalah 119 dan 129 pada 2024 bagi memastikan lebih ramai murid mendapat pendidikan awal di sekolah.

"Lebih daripada 200,000 orang murid prasekolah di seluruh negara pada sesi 2023/2024," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fadhlina berkata, KPM juga menyediakan inisiatif Bantuan Makanan Prasekolah (BMP) untuk semua murid pra sekolah.

"Ini untuk membantu mengatasi isu malnutrisi dan kemiskinan multidimensi. Isu berkaitan mulnutrisi, intenvensi murid dan keperluan khas akan kita buat daripada peringkat awal.

"Dan pastinya terkait rapat juga dengan naratif keciciran sebab enrolmen di peringkat pra sekolah ini, kita perlu buat lonjakan lagi untuk memastikan ia ditangani dengan lebih awal," katanya.

Pada Sabtu, Fadhlina mengumumkan telah mewujudkan pasukan khas untuk penyelarasan semula sistem pendidikan prasekolah di bawah kementerian itu bagi mempercepatkan reformasi pendidikan.

Beliau dilaporkan berkata, agenda KPM adalah untuk memastikan kurikulum dan juga isu-isu berkaitan prasekolah seperti dari segi pembelajaran serta silibus dapat diselaraskan semuanya di bawah kementerian.