Lima polis MPV Pulau Pinang ditahan bantu siasatan pemerasan

Polis menahan lima anggota MPV bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan seorang pekerja kilang di Permatang Tinggi dekat sini pada Jumaat. - Gambar hiasan.[Gambar kecil: Khaw Kok Chin]
Polis menahan lima anggota MPV bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan seorang pekerja kilang di Permatang Tinggi dekat sini pada Jumaat. - Gambar hiasan.[Gambar kecil: Khaw Kok Chin]
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis menahan lima anggota Unit Pasukan Peronda (MPV) bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan membabitkan seorang pekerja kilang sehingga kerugian RM4,500 dalam kejadian di Permatang Tinggi dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, lima anggota berumur 24 hingga 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.15 malam tadi di Bukit Mertajam selepas pihak polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada seorang lelaki berusia 27 tahun.

Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan secara terperinci dan telus serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam kes jenayah atau rasuah.

"Dalam kejadian 10.15 malam Khamis lepas, mangsa yang sedang memandu kereta mendakwa telah ditahan dua kereta MPV polis yang mengarahkannya berhenti di tepi jalan dan tiga anggota kemudian membuat pemeriksaan terhadapnya.

"Semasa pemeriksaan, seorang daripada anggota polis telah menjumpai satu beg plastik mengandungi serbuk disyaki dadah di dalam kereta mangsa, namun dia menafikan tentang beg plastik itu sebelum polis terbabit terus mengatakan bahawa dadah itu milik mangsa dan boleh dikenakan hukuman berat," katanya pada Sabtu.

Kok Chin berkata, mangsa mendakwa sebuah lagi kereta MPV yang dinaiki dua anggota polis datang ke situ sebelum mangsa diarah membayar sebanyak RM10,000 jika tidak mahu ditangkap.

Selepas berbincang, beliau berkata, mangsa telah diminta membayar sebanyak RM4,500 dan dia telah pergi mengambil wang di sebuah bank berhampiran dan menyerahkan wang terbabit sebelum membuat laporan polis.

Menurut Kok Chin, kesemua lima anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah itu kini direman empat hari mulai Sabtu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya beri jaminan yang siasatan terhadap mereka akan dijalankan secara terperinci dan dibuat sama seperti mana-mana penjenayah walaupun suspek anggota polis.

"Amanat Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada 1 Februari lepas tentang tindakan salah laku pegawai dan anggota polis akan diambil tindakan tegas serta disiasat secara telus, akan dilaksanakan terhadap mana-mana polis yang bertugas di Pulau Pinang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!