Tiada gerakan guling Ahmad Zahid di Pulau Pinang

Datuk Musa Sheikh Fadzir
Datuk Musa Sheikh Fadzir
A
A
A

GEORGE TOWN - UMNO Pulau Pinang menafikan ada kalangan ketua bahagian di negeri ini terlibat dalam usaha untuk menggulingkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, kesemua 13 ketua UMNO bahagian di Pulau Pinang berdiri teguh bersama Ahmad Zahid.

Menurutnya, setakat ini tiada satu ketua UMNO bahagian yang menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap pimpinan Ahmad Zahid sebagai Presiden parti.

"Tak ada, Pulau Pinang tak ada (gerakan menggulingkan presiden). Setakat ini semua ketua bahagian masih berdiri teguh dengan Presiden, tak ada isu tak puas hati.

"Kami di Pulau Pinang tak dengar apa-apa pun. Kelmarin Mesyuarat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) sebulat suara sokong dia (Ahmad Zahid)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Tambah Musa, beliau tidak tahu tujuan khabar angin itu disebarkan dan percaya ia perbuatan mereka yang tidak senang dengan UMNO di bawah pimpinan Ahmad Zahid.

"Saya tak pasti apa tujuan pihak berkenaan membuat kenyataan seperti itu tetapi yang saya tahu, tiada gerakan untuk menggulingkan Presiden kami.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin ada yang tidak puas hati dengan parti atau pun Ahmad Zahid sendiri. UMNO Pulau Pinang akan tetap menyokong Ahmad Zahid sebagai Presiden parti," katanya lagi.

Sebelum ini, ada ura-ura mengatakan wujud gerakan menggulingkan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO yang diusahakan ketua bahagian parti itu.

Khabar angin itu turut mengatakan bahawa ada beberapa ketua UMNO bahagian akan mengumpul tanda tangan untuk menggulingkan Ahmad Zahid.