Pengampunan Najib: Sokongan undi Melayu bakal beralih pada PN

Spekulasi mengenai pembebasan awal Najib akhirnya terjawab apabila Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan bekas Presiden UMNO itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028. Gambar kecil: Razali
Spekulasi mengenai pembebasan awal Najib akhirnya terjawab apabila Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan bekas Presiden UMNO itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028. Gambar kecil: Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa sokongan undi Melayu Bumiputera akan beralih kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) susulan pengumuman keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, ini kerana UMNO gagal untuk membebaskan bekas presiden parti itu sepenuhnya.

“Ternyata sokongan undi Melayu Bumiputera akan beralih menerusi gelombang yang lebih besar kepada PN terutama PRU16. Di samping jangkaan pengundi Cina, India dan pengundi muda serta pengundi baharu pasti memihak kepada kami atas simpati kepada Bossku (Najib).

“Laungan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di hadapan akar umbi sekadar bicara kosong sahaja,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Tarikh tersebut adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Yang di-Pertuan Agong ketika itu).

Mengulas lanjut, Razali berkata, Pakatan Harapan (PH) dan sekutu yang lain pasti berasa lega seketika walaupun beliau akan dibebaskan empat tahun lagi.

Artikel Berkaitan:

“PN dan Bersatu mendoakan kesejahteraan Datuk Seri Najib Razak agar terus bersabar dan bertabah mendepani ujian getir ini.

“Perjuangan benar perlu ditegakkan,” ujarnya.