'Ulat' dicekup pikat pelancong guna Vellfire

Sebuah Toyota Vellfire disita JPJ selepas disyaki diguna untuk aktiviti kereta sewa haram atau 'ulat' di KLIA2, Sepang pada Khamis. Foto: JPJ Selangor
Sebuah Toyota Vellfire disita JPJ selepas disyaki diguna untuk aktiviti kereta sewa haram atau 'ulat' di KLIA2, Sepang pada Khamis. Foto: JPJ Selangor
A
A
A

SEPANG - Helah lelaki menggunakan Toyota Vellfire untuk mengaburi pihak berkuasa dengan menawarkan khidmat kereta haram atau 'ulat' berjaya dikesan selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini pada Khamis.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, tangkapan membabitkan lelaki tempatan berusia 58 tahun itu dilakukan pada jam 2.33 petang oleh anggota Stesen Penguatkuasa KLIA.

Menurutnya, sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire telah disita untuk tindakan lanjut.

"Siasatan awal mendapati 'ulat' tersebut telah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada lima orang pelancong warga Indonesia dengan kadar tambang sebanyak RM180 bagi perjalanan dari Terminal 2 KLIA ke Kuala Lumpur dan akan dibayar apabila tiba di destinasi.

"Pemandu itu mendakwa kenderaan itu adalah miliknya dan melakukan khidmat kereta sewa haram untuk mencari pendapatan tambahan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, mana-mana mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Tambah Azrin, sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama.

Justeru, beliau menjelaskan, orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA, KLIA2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

Artikel Berkaitan:

"Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya.