Dua saksi kes rasuah bekas setpol didakwa beri keterangan bercanggah

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua beradik yang juga saksi utama dalam kes pendakwaan rasuah membabitkan bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Mohamad Sabu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas sembilan pertuduhan memberi keterangan bercanggah pada Mei dan Jun tahun lalu.

Ahmad Hisham Mohd Tajuddin, 54, dan Zainudin Abdul Majid, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Hisham yang merupakan bekas pengarah sebuah syarikat didakwa melakukan empat kesalahan tersebut ketika memberikan keterangan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Mohd Azhar Che Mat Dali.

Kesalahan didakwa dilakukan ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 9 Mei dan 9 Jun 2023.

Keterangan itu tidak selaras dengan pernyataan yang diberikan kepada pegawai SPRM, Penolong Kanan Penguasa Shamsudin Md Noh di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, dekat sini pada 2 November 2022.

Sementara itu, Zainudin pula didakwa atas lima pertuduhan melakukan kesalahan sama ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan serupa pada 21 Mac dan 7 April 2023, yang tidak selaras dengan pernyataan kepada Shamsudin pada 4 November 2022.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Farah Yasmin Salleh mencadangkan setiap tertuduh ini diberi ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM terdekat sehingga kes selesai.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam, Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guam tidak lagi bekerja dan menjaga ibu mereka yang lumpuh.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Siti Aminah membenarkan Zainudin dan Ahmad Hisham diikat jamin, masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat-syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 26 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Pada 12 Januari lalu, Mohd Azhar dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM6.35 juta.