Lebih 300 barang antik hiasi ruang rumah

Abdul Aziz menunjukkan lampu gasolin yang dibeli dari England.
Abdul Aziz menunjukkan lampu gasolin yang dibeli dari England.
A
A
A

KANGAR - Tatkala melangkah masuk ke rumah sebuah di Simpang Empat di sini, pandangan mata pastinya kagum melihat ratusan barang lama dan antik menghiasi segenap ruang.

Seorang pesara, Abdul Aziz Ku Sulung, 58, mengabdikan hidupnya mengumpulkan pelbagai barangan lama termasuk peninggalan yang mempunyai nilai sejarah untuk dijadikan koleksi peribadi.

Ratusan barangan antik itu dijaga dengan rapi sekali gus menyerikan setiap sudut sehingga suasana dirasakan seperti berada dalam muzium.

"Antara barangan yang dimiliki sekarang ialah seterika arang, lampu, penimbang, penyukat, mesin jahit, mesin menaip dan banyak lagi," katanya.

Ketika ditemui, Abdul Aziz berkata, bukan wang ringgit yang dikisahkan tetapi kecintaan yang menebal terhadap barang-barang antik.

Abdul Aziz menunjukkan seterika tahun 1796 dari England.
Abdul Aziz menunjukkan seterika tahun 1796 dari England.

Abdul Aziz yang turut memiliki 150 seterika pelbagai jenis dan saiz yang dibeli dari England dengan harga berbeza berkata, beliau memulakan hobi tersebut ketika berusia 20 tahun.Menurutnya, dia membeli barangan tersebut sedikit demi sedikit dan dibantu rakannya yang bekerja di England untuk mengirimkannya dari sana.

Katanya, minatnya terhadap barang antik bermula apabila dia bertandang ke rumah rakan baiknya dan susun letak barangan tersebut yang rapi menarik hatinya.

Artikel Berkaitan:

"Daripada situ saya mula berjinak dengan platform pembelian atas talian, ada barangan yang perlu dibida untuk mendapatkannya dan ada barangan yang boleh dibeli dengan mudah," ujarnya.

Katanya, dia berasa bertuah kerana memiliki koleksi seterika paling lama iaitu pada tahun 1796 selain botol air dikeluarkan syarikat basikal Coventry berusia 130 tahun dibeli dengan harga RM100 yang kini nilainya mencecah RM1,000.

Abdul Aziz juga memiliki 17 unit lampu gasolin dibeli dari England yang digantung rapi di bahagian bumbung rumahnya

Katanya, kesemua barangan dibeli dikekalkan dalam keadaan asal walaupun diterima dalam keadaan berkarat kerana mendakwa ia kelihatan lebih antik."Sebenarnya barangan antik ini mempunyai nilai pasaran yang sangat tinggi. Hanya mereka yang berada di dalam bidang ini sahaja yang tahu nilai harga sesuatu barang," ujarnya.

Abdul Aziz memegang botol berusia 130 tahun.
Abdul Aziz memegang botol berusia 130 tahun.

Buat masa ini katanya, dia tidak akan menjual sebarang koleksi kerana menyifatkan ia memberi makna sangat besar kepadanya.

Menurutnya, dia turut mempunyai perancangan untuk membuka sebuah muzium bagi mempamerkan barangan antik miliknya.

"Saya masih merancang dan belum pasti akan lokasi dan bagaimana cara untuk memulakannya.

"Bagi saya, biarlah ia dirancang secara perlahan agar hasil yang datang nanti memuaskan hati," katanya.