Bolehkah makan makanan yang diniatkan untuk sedekah?

JIKA sudah berniat untuk menyedekahkan makanan, sebaiknya teruskanlah niat tersebut kerana banyak ganjaran yang dijanjikan ALLAH untuk mereka yang menyedekahkan harta ke jalan-NYA.
JIKA sudah berniat untuk menyedekahkan makanan, sebaiknya teruskanlah niat tersebut kerana banyak ganjaran yang dijanjikan ALLAH untuk mereka yang menyedekahkan harta ke jalan-NYA.
A
A
A

NIAT di hati ingin menyedekahkan makanan, namun entah kenapa ia hanya tinggal impian dalam diri sahaja.

Akhirnya, makanan tadi selamat masuk ke dalam perut kita.

Begitu pun, apakah hukumnya memakan makanan yang diniatkan untuk sedekah tersebut?

Menjawab kepada persoalan berkenaan, hukum memakan makanan yang diniatkan untuk bersedekah adalah harus dan tidak berdosa.

Ini kerana, ia sekadar diniatkan dan belum diterima oleh penerimanya.

Meskipun hukumnya adalah harus, namun kita disunatkan supaya makanan tadi disedekahkan juga.

Perkara itu ada dinyatakan dalam kitab Syarh Muntaha al-Iradat: "Barang siapa yang telah membahagikan sebahagian hartanya untuk disedekahkah atau diberikan kepada wakil untuk menyedekahkannya, kemudian dia berasa tidak mahu menyedekahkannya pula, maka sunat baginya untuk terus memberikannya kepada penerimanya kerana hal ini berlawanan dengan godaan nafsu dan hasutan syaitan.

"Namun, tidak wajib untuk dia memberikan sedekah tersebut kerana sedekah tidak dimiliki oleh seseorang penerima sebelum dia menerimanya."

Artikel Berkaitan:

Bagaimana pula jika seseorang itu menarik balik sedekah yang sudah diterima oleh si penerima?

Jika difikirkan logik akal, sesiapa pun tidak boleh menerima tindakan sebegitu kerana ia menggambarkan sifat tidak berperikemanusiaan.

Dalam Islam, sekiranya sedekah tersebut sudah diberikan dan diterima oleh penerimanya, maka haram untuk kita menarik balik dan mengungkit kembali apa yang telah diberikan.

Perbuatan itu sebenarnya telah menyakiti orang yang menerima sedekah tersebut.

Firman ALLAH SWT: "Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti." (Surah al-Baqarah, ayat 264)

Bahkan, Rasulullah SAW juga pernah memberikan perumpamaan terhadap orang yang menarik balik sedekah yang diberikannya ibarat seekor anjing yang memakan muntahnya.

Sabda baginda SAW: "Perumpamaan orang yang menarik kembali sedekah yang telah diberikannya diibaratkan seperti anjing yang muntah, kemudian ia kembali memakan muntahnya sendiri." (Riwayat Muslim)

Jika sudah berniat untuk bersedekah, teruskan istiqamah melakukannya yang diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Selain merupakan amalan mulia, mereka yang bersedekah ke jalan ALLAH SWT dijanjikan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda.

Ayuh rebut peluang untuk kita meningkatkan saham akhirat.

Semoga segala amalan kita diterima oleh-NYA.

(Sumber: #Al-Kafi 1471: Hukum Makan Makanan yang Diniatkan untuk Sedekah, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)