ZPP sumbang tujuh van jenazah bernilai RM1.1 juta

Mohamad (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci van jenazah kepada Pegawai Daerah Timur Laut merangkap Pengerusi Masjid Daerah Timur Laut, Rosli Halim pada Majlis Penyerahan Sumbangan Van Jenazah Masjid Daerah Timur Laut di George Town pada Khamis.
Mohamad (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci van jenazah kepada Pegawai Daerah Timur Laut merangkap Pengerusi Masjid Daerah Timur Laut, Rosli Halim pada Majlis Penyerahan Sumbangan Van Jenazah Masjid Daerah Timur Laut di George Town pada Khamis.
A
A
A

GEORGE TOWN - Zakat Pulau Pinang (ZPP) menyumbangkan van jenazah ketujuh kepada Masjid Daerah Timur Laut atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung pada Khamis, sekali gus melengkapkan penyerahan van-van jenazah kepada tujuh buah masjid di negeri ini melibatkan jumlah keseluruhan RM1.1 juta.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, van bernilai RM155,752 seunit itu disumbangkan menggunakan dana tawaquf di bawah asnaf fisabilillah bertujuan memudahkan pengurusan jenazah anak kariah masjid terlibat.

"Selain Masjid Daerah Timur Laut, enam masjid tersebut ialah Masjid Negeri Pulau Pinang, Masjid Daerah Barat Daya, Masjid Daerah Seberang Perai Utara (Kepala Batas), Masjid Daerah Seberang Perai Utara (Butterworth), Masjid Daerah Seberang Perai Tengah dan Masjid Daerah Seberang Perai Selatan," katanya.

Mohamad berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Van Jenazah Masjid Daerah Timur Laut di sini pada Khamis.

Tambah beliau, sumbangan van jenazah tersebut telah dilaksanakan sejak tahun 2022 dengan nilai keseluruhan agihan zakat berjumlah RM872,280.

Mohamad sedang menghidupkan enjin van jenazah yang diserahkan oleh ZPP kepada Masjid Daerah Timur Laut pada Khamis.
Mohamad sedang menghidupkan enjin van jenazah yang diserahkan oleh ZPP kepada Masjid Daerah Timur Laut pada Khamis.

"Penganjuran majlis hari ini merupakan manifestasi kecaknaan kerajaan Pulau Pinang yang komited dalam memartabatkan syiar Islam untuk terus diperkukuhkan dengan jalinan kerjasama agensi di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

"Saya percaya sumbangan van jenazah ini sudah pasti dapat melengkapkan lagi fungsi dan perkhidmatan pengurusan jenazah Masjid Daerah Timur Laut kepada anak-anak kariah.

Artikel Berkaitan:

"Perkhidmatan yang sempurna dengan kemudahan van jenazah ini pastinya akan membolehkan urusan pengebumian masyarakat Islam di sini dapat dijalankan dengan lebih cepat dan teratur sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak," katanya.

Mohamad menambah, dalam konteks gagasan Malaysia Madani, dengan dana agihan zakat yang diuruskan oleh ZPP, ia seiring dan bertepatan dengan elemen keterangkuman bagi membina masyarakat Islam bertamadun yang menitikberatkan kepada masyarakat yang diurus dengan baik, membolehkan setiap rakyat mencapai kesejahteraan serta kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali berkata, objektif sumbangan tersebut adalah untuk melengkapkan lagi fungsi dan perkhidmatan pengurusan jenazah yang efisien di setiap kariah yang terlibat.

"Di samping itu, ia memberikan pendedahan kepada masyarakat Islam di Pulau Pinang berkaitan pengurusan dan pelaksanaan program-program agihan yang dijalankan oleh ZPP.

"Dengan adanya majlis sumbangan ini juga diharapkan dapat mewujudkan jalinan kerjasama yang lebih erat di antara Jawatankuasa Kariah Pulau Pinang dengan ZPP dan MAINPP," katanya.