Tiga lelaki menyamar polis 'pau' dua beranak warga asing

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

AMPANG - [DIKEMAS KINI] Tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis ditahan kerana disyaki melakukan pemerasan terhadap dua beranak warga asing di Taman Permai Jaya, di sini, pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian pada jam 10.30 malam, mangsa yang bekerja sebagai juruteknik pendawaian dan bapanya ketika berada di rumah telah didatangi tiga lelaki.

"Salah seorang daripada suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Shah Alam.

"Suspek telah masuk ke dalam rumah untuk membuat pemeriksaan, sebelum menuduh bapa mangsa membuat salah kerana tiada lesen menjual besi buruk," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Azam.
Mohd Azam.

Mohd Azam berkata, suspek telah meminta sejumlah wang daripada dua beranak itu.

"Disebabkan takut, bapa mangsa telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM500 dan suspek terus beredar dari rumah tersebut," katanya.

Beliau berkata, hasil maklumat, sepasukan polis telah membuat beberapa siri tangkapan di Tasek Permai, Taman Sri Intan Lembah Jaya Selatan dan Ampang Campuran, di sini, pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah menahan dua penganggur dan seorang lelaki yang bekerja sebagai jurupendawaian.

"Hasil semakan mendapati kesemua lelaki warga tempatan berusia 34, 35 dan 42 tahun itu mempunyai rekod jenayah dan kes dadah," katanya.

Mohd Azam berkata, pihaknya turut merampas tiga telefon bimbit bagi tujuan siasatan.

"Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 akta sama," katanya.