Kerajaan Persekutuan akan bermesyuarat percepat pembentukan JS-SEZ

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan bercakap pada sidang media Mesyuarat Pasca Kabinet di Kementerian Komunikasi hari ini. Foto Bernama
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan bercakap pada sidang media Mesyuarat Pasca Kabinet di Kementerian Komunikasi hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan Persekutuan akan mengadakan mesyuarat bersama kerajaan negeri Johor bagi menyelaras beberapa dasar untuk memastikan pembentukan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dapat disegerakan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perbincangan tersebut yang akan diadakan dalam masa terdekat akan dikendalikan oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi pihak kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan Pusat akan menyelaras beberapa perkara bersama dengan kerajaan negeri Johor dan beberapa mesyuarat akan dimulakan dalam masa terdekat bagi menyelaras beberapa dasar di peringkat pusat dan negeri dan memastikan usaha untuk membentuk zon ekonomi khas ini dapat dipercepat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Bagaimanapun, Fahmi berkata, mesyuarat Kabinet hari ini tidak membincangkan secara spesifik berkenaan lokasi yang akan ditentukan sebagai JS-SEZ.

"Tiada maklumat khusus yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet. Ia lebih kepada menetapkan dasar yang akan diatur dan diselaraskan oleh semua kementerian,” katanya.

Awal bulan ini, Malaysia dan Singapura menandatangani memorandum persefahaman (MoU) JS-SEZ dalam usaha mengukuhkan jalinan ekonomi antara kedua-dua negara.

Menerusi MoU itu, Malaysia dan Singapura akan berusaha untuk memudahkan urusan keluar masuk sempadan untuk kesenangan rakyat, sekali gus menambah baik ekosistem dan kerjasama ekonomi.

Kedua-dua negara juga bersetuju untuk bekerja bersama dalam perjanjian JS-SEZ itu dan juga Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 yang akan diadakan kelak. - Bernama

Artikel Berkaitan: