Tubuh jawatankuasa bersama Malaysia-Singapura perinci JS-SEZ

Lee Ting Han
Lee Ting Han
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah jawatankuasa bersama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan Johor dan kerajaan Singapura akan ditubuhkan bagi memperincikan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Exci Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, JS-SEZ bukan sahaja membuka lebih banyak peluang peniagaan dan pekerjaan tetapi membuktikan hubungan erat kedua-dua negara.

Justeru, perbincangan terperinci mengenai JS-SEZ melalui jawatankuasa yang akan ditubuhkan kelak perlu diadakan sebelum Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 nanti.

"Jawatankuasa bersama itu akan membincangkan mengenai sektor yang akan dibangunkan bersama berkaitan dengan polisi dan insentif serta cadangan keluasan JS-SEZ tersebut.

"Kita berharap perkara itu dapat dimuktamadkan sebelum kita menandatangani perjanjian pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 pada suku keempat tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mengusahakan JS-SEZ di sebuah hotel dekat sini pada Khamis.

MoU ditandatangani oleh Menteri Ekonomi Malaysia (MOE), Mohd Rafizi Ramli dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian Singapura (MTI), Gan Kim Yong itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong.

Ting Han berkata, pusat sehenti (one-stop centre) khas untuk JS-SEZ bagi membantu pelabur dan pemain industri yang memerlukan agensi khas membantu pelaburan di Johor turut akan ditubuhkan.

Artikel Berkaitan:

"Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar bagi negeri ini yang menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing (FDI) Johor dalam sektor pembuatan.

"Bagi Johor, Singapura juga merupakan perdagangan terbesar sepanjang 30 tahun lalu. Untuk tahun lalu sahaja, perdagangan dengan Singapura telah mencecah RM200 bilion sehingga suku ketiga sekali gus menunjukkan kepentingan hubungan baik dengan Singapura," katanya.

Beliau berkata, antara sektor dinantikan ialah sektor ekonomi digital, perbankan dan kewangan dan sebagainya dalam usaha memaksimakan potensi JS-SEZ itu yang memberi pulangan kepada Johor.

"Sudah tentu industri konvensional seperti industri pembuatan, elektrik dan elektronik, pelancongan, perubatan dan sebagainya, industri saling melengkapi kekuatan Johor dan Singapura," katanya.