Arab Saudi izin majlis akad nikah di Masjidil Haram, Masjid Nabawi

Masjidil Haram
Masjidil Haram
A
A
A

RIYADH - Pihak berkuasa Arab Saudi kini membenarkan majlis akad nikah dijalankan di Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Perkara tersebut diumumkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sebagaimana dipetik menerusi laporan Gulf News yang memetik akhbar tempatan, al-Watan.

Menurut laporan Gulf News, langkah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan Arab Saudi untuk memberi peluang kepada jemaah merasai pengalaman bernikah di dua masjid suci tersebut.

“Ia secara tidak langsung membolehkan pelaksanaan akad nikah tersusun dengan selesa dan mudah di dua masjid suci berkenaan,” lapor akhbar itu lagi.

Beberapa pakar pula berpandangan inisiatif itu memberi peluang kepada syarikat menghasilkan idea-idea inovatif bagi menganjurkan acara sedemikian di tempat suci itu.

Masjid Nabawi yang terletak di Madinah.
Masjid Nabawi yang terletak di Madinah.

Seorang pegawai perkahwinan, Musaed Al-Jabri berkata, melaksanakan akad nikah di Masjid Nabawi adalah dibenarkan dalam Islam.

Malah, jelas beliau, Nabi Muhammad SAW juga diketahui mengadakan upacara perkahwinan seorang sahabat di masjid tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga disebabkan beberapa faktor. Ada antara mereka mempunyai tradisi menjemput kebanyakan saudara mara pasangan yang bakal berkahwin.

“Biasanya rumah keluarga bakal isteri tidak dapat menampung semua jemputan. Jadi, majlis akad nikah dijalankan di Masjid Nabawi atau Masjid Quba (masjid pertama dibina dalam Islam),” katanya.

Sebelum ini Times of India melaporkan semakin ramai orang Islam yang kaya dari luar negara ke Madinah untuk melangsungkan akad nikah mereka. - Agensi