Tak sesuai baca Qunut Nazilah ketika mulakan perlawanan sukan - Exco

Mohammad Fahmi. Tular sebuah sekolah membaca doa Qunut Nazilah sebelum memulakan kejohanan sukan ragbi di Sabak Bernam.
Mohammad Fahmi. Tular sebuah sekolah membaca doa Qunut Nazilah sebelum memulakan kejohanan sukan ragbi di Sabak Bernam.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelajar sekolah yang membaca doa Qunut Nazilah bagi memulakan kejohanan sukan seperti yang tular di media sosial perlu diberikan kefahaman mengenai amalan berkenaan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, doa khas itu sesuai dibaca sekiranya umat Islam ditimpa sebarang bencana seperti serangan musuh, penularan wabak penyakit, kemarau dan sebagainya.

Bagaimanapun, katanya, bacaan itu tidak sesuai jika memulakan perlawanan sukan lebih-lebih lagi membabitkan pelbagai kaum.

"Kalau perlawanan sukan, ia tidak sesuai dan perlu diberi sedikit pemahaman mengenainya.

"Mungkin guru pengiring yang menghantar pelajar ke kejohanan sukan terbabit boleh menasihatkan pelajar mereka kerana terdapat banyak doa lain lebih sesuai untuk dibaca," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Bagaimanapun, Mohammad Fahmi memberitahu, bacaan Qunut Nazilah merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW yang perlu disesuaikan dengan situasi semasa.

Beliau turut berharap agar perkara itu tidak menjadi isu politik sebaliknya ia diselesaikan dengan cara baik.

"Bacaan ini sebenarnya sunat dan tidak perlu diperbesarkan, cuma mereka (pelajar) mesti diperjelaskan mengenainya.

Artikel Berkaitan:

"Kalau pelajar ini dipaksa guru mereka membaca Qunut Nazilah semasa sukan, ini isu lain, tetapi saya percaya ia perkara kecil dan hanya perlu diberikan pencerahan, Insya-ALLAH mereka tidak buat lagi," tambah beliau.

Terdahulu, tular seorang pemilik akaun Facebook meluahkan kekecewaannya selepas doa itu dibaca beberapa sekolah sebelum masuk ke padang dalam kejohanan ragbi di Sabak Bernam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!