Keuntungan bersih Bursa Malaysia 2023 meningkat kepada RM252.38 juta

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KEUNTUNGAN bersih Bursa Malaysia Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 meningkat 11.4 peratus kepada RM252.38 juta berbanding RM226.57 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Pendapatan pada tahun kewangan 2023 menokok kepada RM616.49 juta daripada RM603.25 juta.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata, peningkatan keuntungan bersih itu disebabkan pertambahan 1.3 peratus dalam hasil operasi kepada RM592.8 juta daripada RM585.3 juta yang disaksikan semasa tahun kewangan 2022.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2023, Bursa Malaysia mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM59.55 juta berbanding RM49.00 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun lalu, manakala hasil naik kepada RM156.68 juta daripada RM145.70 juta.

Bursa Malaysia telah mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 14.0 sen sesaham, berjumlah kira-kira RM113.3 juta, sebagai tambahan kepada dividen interim sebanyak 15.0 sen sesaham yang dibayar pada Ogos 2023.

"Ini menjadikan jumlah dividen kepada 29.0 sen sesaham, mewakili nisbah pembayaran sebanyak 93.0 peratus untuk tahun kewangan 2023,” katanya.

Bursa Malaysia berkata, pasaran sekuriti mencatatkan hasil dagangan sebanyak RM266.6 juta pada tahun kewangan 2023 berbanding RM263.5 juta pada tahun kewangan 2022, kenaikan 1.2 peratus, disebabkan nilai purata harian (ADV) yang lebih tinggi yang didagangkan untuk dagangan dalam pasaran ( OMT) dan perdagangan perniagaan langsung (DBT).

"Dalam pasaran derivatif, hasil dagangan turun 7.8 peratus kepada RM89.6 juta daripada RM97.2 juta pada tahun kewangan 2022 disebabkan oleh yuran pengurusan cagaran yang lebih rendah yang diperoleh dan kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) yang agak kurang didagangkan pada tahun kewangan 2023,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Bagi Pasaran Islam, Bursa Malaysia berkata hasil dagangan Bursa Suq Al-Sila (BSAS) melonjak 3.9 peratus kepada RM17.1 juta pada tahun kewangan 2023, naik daripada RM16.4 juta pada tahun kewangan 2022, manakala hasil bukan dagangan daripada data perniagaan menyaksikan pertambahan ketara kepada RM68.0 juta pada tahun kewangan 2023 berbanding RM60.8 juta sebelumnya.

"Ini disokong oleh perolehan dalam data pasaran sekuriti serta derivatif yang lebih tinggi hasil daripada semakan dalam yuran pada awal suku kedua 2023 serta angka pelanggan yang lebih tinggi pada tahun kewangan 2023," katanya.

Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pasaran sedang pesat membangun serta ekonomi membangun telah mengatasi ekonomi maju walaupun menghadapi prospek yang mencabar dan ekonomi Malaysia, khususnya, kekal berdaya tahan pada 2023, dengan unjuran kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) hampir 4.0 peratus.

"Dari segi prestasi pasaran modal, FBM KLCI muncul sebagai prestasi kedua terbaik Asean, dengan peningkatan sebanyak 5.7 peratus pada separuh kedua 2023 dan menutup tahun pada 1,454.7 mata, lantunan yang sihat daripada 1,376.7 mata yang dicatatkan semasa separuh pertama 2023,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, bursa itu telah mengumpul RM3.6 bilion daripada penyenaraian baharu pada tahun kewangan 2023 berbanding RM3.5 bilion sebelumnya, menjadikan permodalan pasaran tawaran awam permulaan (IPO) kepada RM13.6 bilion, mengatasi jumlah tahun sebelum ini sebanyak RM11.2 bilion.

"Perkembangan ini menyerlahkan keupayaan pasaran untuk menyesuaikan diri serta berkembang maju, mengukuhkan peranan bursa sebagai platform berdaya maju bagi mengumpul dana dan keperluan pelaburan,” katanya.

Muhamad Umar menambah aktiviti perdagangan akan terus dipengaruhi oleh perkembangan global serta tempatan yang berterusan, dan komitmen Bursa Malaysia adalah untuk memberi tumpuan kepada mempelbagaikan pengumpulan dana dan peluang perdagangan bagi pihak berkepentingan yang dihargai sebagai pertukaran pelbagai aset. - Bernama