'Madam' dari Tanzania eksploitasi rakan senegara ditahan

Suspek enggan membuka pintu dan tidak memberikan kerjasama, sehingga memaksa pasukan operasi JIM menyerbu masuk ke premis yang dijadikan tempat tinggal ahli sindiket. Foto ihsan JIM
Suspek enggan membuka pintu dan tidak memberikan kerjasama, sehingga memaksa pasukan operasi JIM menyerbu masuk ke premis yang dijadikan tempat tinggal ahli sindiket. Foto ihsan JIM
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang wanita warganegara Tanzania berusia 29 tahun berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen (JIM) menerusi operasi membanteras kegiatan pemerdagangan orang yang dijalankan di ibu negara, Isnin lalu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Tinggi Republik Tanzania di negara ini dan risikan dijalankan, operasi menyelamat digerakkan jam 4.30 petang.

Katanya, pasukan operasi turut menggunakan pendekatan siasatan awal bagi proses pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang berpandukan kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

"Wanita Tanzania itu dipercayai menjadi mangsa eksploitasi dengan dijanjikan pekerjaan oleh sindiket yang menguruskan kemasukannya ke dalam negara.

"Mangsa telah dikawal ahli sindiket yang juga merupakan warganegara Tanzania untuk dieksploitasi sebagai pekerja seks selain pasport disimpan tanpa kerelaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu

Menurut Ruslin, susulan maklumat diperolehi, pihaknya mengenal pasti sebuah premis rumah pangsapuri yang dijadikan tempat tinggal ahli sindiket.

“Suspek enggan membuka pintu dan tidak memberikan kerjasama pada awalnya sehingga memaksa pasukan operasi menyerbu masuk ke premis tersebut.

"Seorang wanita warganegara Tanzania berumur 32 tahun dikenali sebagai 'madam' yang disyaki menyalah guna kemudahan pas pelajar dengan menjadi 'ibu ayam' telah berjaya ditahan pasukan operasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anggota penguat kuasa JIM membuat serbuan di rumah seorang wanita warga Tanzania yang juga ‘ibu ayam’ dalam operasi di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur, Isnin lalu. Foto ihsan JIM
Anggota penguat kuasa JIM membuat serbuan di rumah seorang wanita warga Tanzania yang juga ‘ibu ayam’ dalam operasi di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur, Isnin lalu. Foto ihsan JIM

Susulan itu, kata beliau, wanita yang diselamatkan itu ditempatkan di rumah perlindungan di bawah arahan perlindungan sementara Interim Protection Order (IPO).

"JIM telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

"JIM akan terus bekerjasama dengan pihak kedutaan negara terbabit dalam mengesan dalang dan ahli sindiket yang lain berhubung maklumat terdapat kegiatan pemerdagangan orang dalam kalangan warganegara tersebut," katanya.

Tambah Ruslin, modus operandi sindiket ialah menjanjikan pekerjaan termasuk peluang untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia.

"Selain itu, ahli sindiket dikesan sering berpindah randah dari satu kediaman mewah ke kediaman mewah lain bagi mengelak kegiatan jenayah mereka dikesan pihak berkuasa," ujar beliau.

Tegas beliau, JIM sentiasa memandang serius perkara seumpama itu dan meneruskan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah ATIPSOM 2007 (AKTA 670).

Sabit kesalahan individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun atau pemenjaraan seumur hidup dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat.

Katanya, bagi mana-mana kesalahan di bawah Akta ATIPSOM yang disabitkan kepada majikan, pekerja atau ejen boleh dihukum dengan penalti yang lebih berat sebagaimana diperuntukkan oleh akta sedia ada.

"Orang ramai dinasihatkan untuk terus menyalurkan maklumat kepada JIM atau menghubungi talian 03-8000 8000 sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kes warga asing dieksploitasi.

"Ini bagi memastikan tindakan undang-undang boleh diambil, selaras usaha kerajaan membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran," katanya.