Pulau Pinang: Kerja penyambungan paip siap lebih awal

Kerja penyambungan dua paip dalam Pelan B siap lebih awal daripada jadual asal.
Kerja penyambungan dua paip dalam Pelan B siap lebih awal daripada jadual asal.
A
A
A

GEORGE TOWN - Penyambungan dua saluran paip baharu untuk menggantikan saluran paip dasar Sungai Perai yang bocor telah siap lebih awal daripada jadual asal.

Ia merupakan kerja di dalam pelan tindakan kecemasan, Pelan B yang membabitkan pemasangan dua paip baharu berukuran 600 milimeter (mm) bagi menggantikan paip sedia ada.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataannya berkata, kerja-kerja lencongan di tapak untuk menyambungkan dua saluran paip baharu itu berjaya disiapkan lebih cepat daripada yang dijadualkan.

"Status terkini pada jam 4.30 pagi tadi menunjukkan, saluran paip baharu telah disambungkan. Bahagian bawah air yang bocor pada saluran paip di dasar sungai telah diputuskan.

"Ujian dan pengoperasian saluran paip telah bermula. Ini akan disusuli dengan usaha memulihkan semula bekalan air untuk 84 peratus daripada 120,000 pengguna terjejas lebih awal daripada jadual," katanya pada Rabu.

PBAPP menambah, pemulihan semula bekalan air kepada 84 peratus daripada pengguna yang terjejas itu telah bermula dan dijangka selesai pada jam 3.30 petang, Khamis.

"Sementara itu, pemulihan bekalan air untuk baki 16 peratus pengguna terjejas (termasuk hujung paip agihan dan kawasan tinggi) belum selesai.

"Kita jangkakan ia akan selesai pada 3.30 petang, Jumaat. PBAPP akan mengemas kini kemajuan Pelan B dari masa ke semasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selasa minggu lalu, bahagian saluran paip 1,350 mm di dasar Sungai Perai sekali lagi dikesan mengalami kebocoran yang menyebabkan berlaku gangguan bekalan air kepada kira-kira 120,000 pengguna di negeri ini.

Susulan daripada itu, Kerajaan Pulau Pinang telah mempertimbangkan dua langkah untuk membolehkan bekalan air dapat disalurkan semula kepada pengguna terjejas akibat daripada kejadian itu.

Langkah pertama adalah dengan membaiki paip bocor itu dalam tempoh 24 hingga 48 jam oleh pakar penyelam.

Sementara bagi langkah kedua pula, kerja-kerja pemasangan paip khas iaitu pelencongan paip di sungai berkenaan akan dipercepatkan.