Ringgit melantun semula, ditutup tinggi berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT melantun semula untuk ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan pelabur mengalihkan tumpuan daripada dolar AS menjelang keputusan mengenai kadar faedah AS pada Rabu, kata ahli ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7255/7290 berbanding dolar AS daripada 4.7310/7360 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid yakin peserta pasaran akan berwaspada terhadap penilaian terkini Rizab Persekutuan AS (Fed AS) semasa mesyuarat terbaru Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan bermula hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pelabur akan memantau rapi laporan Tinjauan Peluang Pekerjaan dan Perolehan Tenaga Kerja (JOLTS) malam ini, dengan anggaran konsensus peluang pekerjaan berjumlah 8.75 juta pada Disember 2023 berbanding 8.79 juta pada bulan terdahulu.

"Peluang pekerjaan yang rendah bererti permintaan rendah terhadap tenaga kerja, yang mendorong pertimbangan kepada penurunan kadar faedah pada tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, keputusan mengenai kadar faedah yang ditunggu-tunggu adalah berita terpenting di pasaran kewangan kerana boleh mengubah aliran wang di seluruh dunia.

"Jangkaan oleh kebanyakan pakar adalah Fed AS akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah, dan jika ini berlaku, dolar AS berbanding ringgit boleh menyusut kepada paras 4.7000 dalam tempoh beberapa hari akan datang,” katanya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama hari ini, kecuali berbanding yen Jepun, iaitu jatuh kepada 3.2061/2087 daripada 3.2020/2056 semasa ditutup pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9924/9968 daripada 6.0093/0157 semalam dan menokok berbanding euro kepada 5.1163/1201 daripada 5.1204/1258 sebelum ini.

Pada masa sama, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean.

Ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 299.4/299.7 daripada 299.1/299.7 semasa ditutup semalam, tetapi meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.37/8.38 daripada 8.40/8.42 sebelum ini.

Mata wang tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.5273/5304 daripada 3.5269/5309 pada Isnin dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.3572/3727 daripada 13.2949/3153 sebelum ini. - Bernama