Masih ramai gagal daftar anak angkat

Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli negeri, Ginie Lim (dua, kanan) merasmikan Program Bertemu Pelanggan dan Hari Terbuka JPN, di Kompleks KDN di Ayer Keroh, di sini.
Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli negeri, Ginie Lim (dua, kanan) merasmikan Program Bertemu Pelanggan dan Hari Terbuka JPN, di Kompleks KDN di Ayer Keroh, di sini.
A
A
A

MELAKA - Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli Melaka, Ginie Lim berkata, masih terdapat banyak kes ibu bapa yang mengambil anak angkat gagal mendaftar dan mendapatkan dokumen pengenalan diri anak mereka.

Menurutnya, ia penting bagi memastikan anak-anak tiada masalah untuk meneruskan pendidikan dan mendapatkan pekerjaan apabila besar kelak.

"Terdapat juga isu pendaftaran kanak-kanak yang prosesnya kurang difahami terutamanya proses permohonan anak angkat, sehingga timbul masalah memohon kad pengenalan apabila kanak-kanak mencapai usia 12 tahun.

"Justeru, kita mahu orang ramai terutamanya yang mengambil anak angkat datang ke Pejabat Pendaftaran Negeri, pada hari Rabu kedua setiap bulan, sempena Hari Bertemu Pelanggan JPN, bagi mengatasi masalah mereka," katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media selepas merasmikan Program Bertemu Pelanggan dan Hari Terbuka JPN, di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Ayer Keroh, di sini.

Hadir sama, Pengarah JPN Melaka, Norazle Sulaiman.

Ginie turut menggesa orang awam mengambil peluang ke JPN untuk mendapatkan segala maklumat dan bertanya apa juga masalah pendaftaran.

"Buanglah sikap acuh tak acuh dan tanggapan banyak proses perlu dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Setiap proses dan prosedur mesti dilakukan dan diambil terutamanya membabitkan pendaftaran kanak-kanak, jadi kita hendaklah mengikut peraturannya," katanya.

Mengikut statistik pendaftaran kelahiran di negeri ini, sebanyak 13,945 kelahiran didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri tahun 2018, berbanding 2017 sebanyak 14,699.