Jangan terlalu kejam dengan Pan-gon

Pan-gon (kiri) ketika mengendalikan sesi latihan pada Piala Asia di Qatar, baru-baru ini.
Pan-gon (kiri) ketika mengendalikan sesi latihan pada Piala Asia di Qatar, baru-baru ini.
A
A
A

DUA kekalahan perlawanan Kumpulan E kepada Jordan 0-4 dan Bahrain 0-1 dalam saingan Piala Asia baru-baru ini menyaksikan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mendapat kritikan yang teruk daripada segelintir peminat pasukan negara.

Malah, ia menunjukkan wajah sebenar peminat yang tampil mencemuh taktikal Pan-gon dalam perlawanan tersebut, sekali gus menyaksikan seruan untuk pengendali kelahiran Korea Selatan itu meninggalkan jawatan pengendali pasukan.

Segala kritikan tersebut bagaimanapun berubah ketika pasukan negara berjaya mengikat pasukan di ranking ke-23 dunia, Korea Selatan 3-3 pada perlawanan terakhir kumpulan.

Pan-gon kembali dijulang, namun kritikan yang telah dilontarkan oleh peminat negara menyaksikan beliau seolah-olah merajuk pada sidang media selepas perlawanan dan mengakui ada pihak yang menunggu untuk melihat beliau gagal.

Bekas pengendali Harimau Malaya, Wan Jamak Wan Hassan memahami perasaan Pan-gon yang sudah tentu masih berbekas dengan cemuhan selain mahu peminat lebih rasional dalam setiap tindakan.

Beliau juga percaya, negara akan kerugian sekiranya kehilangan Pan-gon yang ketika ini sudah tentu mula diberikan perhatian oleh negara lain selain penyokong Korea sendiri mahu pengendali berusia 54 tahun itu kembali ke Taeguek Warriors.

"Kadang-kadang orang kat luar ini lebih sudu daripada kuah. Pada saya sejak Pan-gon ambil alih pasukan negara, banyak perubahan telah berlaku kepada sikap pemain dan keputusan perlawanan.

"Jadi, Piala Asia ini, memang satu kejohanan yang tinggi dan kejayaan mara secara merit juga sesuatu yang bagus. Ketika tewas dua perlawanan awal Pan-gon dikritik, namun selepas seri dengan Korea peminat mula sanjung dia balik.

Artikel Berkaitan:

"Memang setiap orang bebas kritik kerana harapan tinggi untuk pasukan negara, tetapi biarlah rasional. Tak perlu kita kritik melulu dan sudah tentu apa yang dilakukan Pan-gon itu ada sebabnya dan kita biarkan kepada pakar buat kerja mereka," katanya kepada Sukan Sinar.

Hasrat skuad negara untuk mencipta sasaran mara ke pusingan 16 pasukan terbaik tidak kesampaian apabila tewas kepada Jordan dan Bahrain.

Namun, sebalik episod kecewa itu, masih ada yang boleh dibanggakan apabila skuad negara mencipta kejutan mengikat Korea Selatan 3-3 dalam perlawanan terakhir kumpulan.

Dalam pada itu, Wan Jamak percaya Pan-gon telah melakukan kerja yang baik pada Piala Asia itu terutama kebangkitan yang dilakukan selepas tewas perlawanan pertama sehingga perlawanan terakhir.

"Saya juga lihat banyak peningkatan positif daripada sebelum ini. Kalau dulu, bila ketinggalan dah rasa putus asa dan tiada keinginan untuk menang.

"Namun, sekarang ini sudah banyak berbeza di bawah Pan-gon dan beliau perlu diberikan peluang untuk terus kemudi Harimau Malaya," katanya.