CPI 2023: Malaysia naik tangga ke-57 dunia

Muhammad (kiri) ketika membentangkan keputusan CPI 2023, di ibu negara pada Selasa.
Muhammad (kiri) ketika membentangkan keputusan CPI 2023, di ibu negara pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 yang dikeluarkan Transparency International (TI) mencatatkan peningkatan kepada tangga 50 mata berbanding 47 mata pada 2022.

Presiden TI-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, penambahan mata itu sekali gus meletakkan negara di kedudukan tangga ke-57 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-61 pada CPI 2022.

Ujar beliau, skor negara meningkat kepada tiga mata setelah jatuh enam mata dalam tempoh tiga tahun lalu sejak 2019.

"Jadi pada 2023, skor itu melantun semula (rebound). Terdapat lantunan tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan. (Skor) Meningkat tiga mata pada 2023, jadi apa yang boleh dikatakan adalah ia memberi kita harapan.

"Sekiranya markah lulus ialah 50 mata, maka seolah-olah kita kembali semula (ke markah selamat)," katanya ketika taklimat CPI 2023 di sini pada Selasa.

Muhammad berkata, peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara dalam pendakwaan dua bekas Perdana Menteri merupakan antara faktor yang mendorong kepada lantunan skor CPI tersebut.

Menurutnya, faktor lain juga melibatkan sabitan bekas Perdana Menteri dalam kes rasuah SRC International (SRC) menunjukkan kebebasan kehakiman di Malaysia.

"Malaysia naik ke kedudukan ke-40 dalam Indeks Demokratik oleh Unit Perisikan Ekonomi pada 2022 dengan skor 7.3/10.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun wujud ketidakstabilan politik, namun penyertaan pengundi lebih tinggi disebabkan oleh Undi-18.

"Peralihan kuasa yang lancar selepas Pilihan Raya Umum ke- 14 (PRU14) dan PRU15, menunjukkan bahawa prinsip demokrasi masih wujud dan dihormati," ujarnya.

Dari segi kedudukan negara ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua terbaik selepas Singapura yang merekod skor 83, dan berada di tangga kelima daripada 180 negara.

Denmark berada di tangga teratas bagi indeks CPI 2023 dengan 90 mata diikuti Finland (87 mata) dan New Zealand (85 mata).

Syria, Venezuela dan Somalia berada di bahagian bawah indeks, dengan masing-masing 13, 13 dan 11 mata.