Bursa Malaysia naik 2.02 mata, akhiri penurunan selama empat hari

Bursa Malaysia meningkat ketika mengakhiri dagangan minggu ini pada Jumaat susulan prestasi serantau yang positif. Foto hiasan
Bursa Malaysia meningkat ketika mengakhiri dagangan minggu ini pada Jumaat susulan prestasi serantau yang positif. Foto hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia meningkat ketika mengakhiri dagangan minggu ini pada Jumaat susulan prestasi serantau yang positif, sekali gus menamatkan penurunan selama empat hari berturut-turut, kata penganalisis.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.02 mata kepada 1,450.23 daripada paras 1,448.21 pada akhir urus niaga semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 2.33 mata kepada 1,445.88 dan bergerak dalam jajaran 1,441.50 hingga 1,450.69 sepanjang sesi dagangan.

Pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 504 berbanding 403 manakala 472 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,012 tidak diniagakan dan 49 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan merosot kepada 3.13 bilion unit bernilai RM2.08 bilion daripada 3.25 bilion unit bernilai RM2.13 bilion pada Khamis.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI ditutup meningkat sedikit susulan aktiviti belian pada saat-saat akhir terutamanya bagi saham telekomunikasi, perladangan dan tenaga.

Menurutnya, indeks serantau utama memaparkan aliran lebih tinggi hari ini walaupun Rizab Persekutuan AS (Fed) tidak menunjukkan pendirian yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah.

"Kami percaya ini disebabkan oleh aktiviti memburu saham-saham berharga rendah selepas berlakunya jualan ketara sejak beberapa hari. Faktor lain adalah tindakan bank pusat Jepun, Bank of Japan yang mengekalkan dasar monetari pada mesyuarat terkini hari ini,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Pak Leng bagaimanapun mengingatkan bahawa sebarang kenaikan kadar faedah AS yang berpanjangan akan mencetuskan ketidaktentuan serta menjejaskan pasaran serantau.

Pada akhir urus niaga hari ini, saham wajaran tinggi Maybank susut dua sen kepada RM8.88, Public Bank rugi satu sen kepada RM4.20, Petronas Chemicals naik empat sen kepada RM7.35, TNB menokok 10 sen kepada RM10.16 manakala CIMB tidak berubah pada RM5.59.

Bagi saham aktif, KNM Group meraih setengah sen kepada 12.5 sen, Ekovest menambah 2.5 sen kepada 59 sen, UEM Sunrise untung tiga sen kepada 91 sen, Eastern & Oriental menokok 6.5 sen kepada 71.5 sen dan Mercury Securities sebaliknya susut setengah sen kepada 29.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas meningkat 20.26 mata kepada 10,746.90, Indeks FBMT 100 menambah 16.18 kepada 10,408.19, Indeks FBM 70 naik 29.52 mata kepada 14,317.08 dan Indeks FBM Emas Shariah meraih 35.36 mata kepada 11,007.83.

Selain itu, Indeks FBM ACE turun 5.08 mata kepada 5,209.06.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perladangan naik 2.12 mata kepada 6,927.22, Indeks Tenaga menambah 15.03 mata kepada 906.92, Indeks Produk Perindustrian meningkat 0.42 mata kepada 174.83 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 7.34 mata kepada 16,220.63.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 2.08 bilion unit bernilai RM1.82 bilion daripada 2.14 bilion unit bernilai RM1.90 bilion pada Khamis.

Dalam pada itu, jumlah waran meningkat kepada 464.54 juta unit bernilai RM69.35 juta daripada 379.14 juta unit bernilai RM48.82 juta, sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 585.50 juta saham bernilai RM185.53 juta daripada 690.76 juta saham bernilai RM182.43 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 287.45 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (345.51 juta); pembinaan (193.33 juta); teknologi (131.33 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (46.10 juta); hartanah (540.94 juta); perladangan (30.63 juta); REIT (6.38 juta), dana tertutup (18,200); tenaga (308.52 juta); penjagaan kesihatan (54.50 juta); telekomunikasi dan media (29.31 juta); pengangkutan dan logistik (51.78 juta) serta utiliti (50.60 juta). - Bernama