IPEF 2023 wadah terbaik garap strategi harungi dunia pekerjaan

Sivakumar berkata, intipati perkongsian oleh ahli panel dari dalam dan luar negara menerusi IPEF 2023 akan meliputi aspek pemerkasaan tenaga buruh, TVET serta sosial dan urus tadbir pekerjaan.
Sivakumar berkata, intipati perkongsian oleh ahli panel dari dalam dan luar negara menerusi IPEF 2023 akan meliputi aspek pemerkasaan tenaga buruh, TVET serta sosial dan urus tadbir pekerjaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Forum Pekerjaan Awam Antarabangsa (IPEF 2023) bakal menjadi wadah terbaik untuk menggarap strategi mengharungi dinamika dunia pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, forum yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 Oktober depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menampilkan lebih 28 ahli panel pakar dalam bidang masing-masing.

"Forum ini juga berperanan sebagai saluran perkongsian pelbagai matlamat pasaran buruh yang akhirnya memberi laba kepada golongan majikan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, intipati perkongsian oleh ahli panel dari dalam dan luar negara menerusi IPEF 2023 akan meliputi aspek pemerkasaan tenaga buruh, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta sosial dan urus tadbir pekerjaan.

"Maklumat sebegini mampu menyuntik perubahan positif terhadap rangkaian aspek pengurusan sumber manusia, sekali gus melonjak tahap produktiviti pekerja dan unjuran prestasi syarikat serta mewujudkan tenaga buruh yang utuh," ujarnya.

Beliau berkata, anjakan perubahan itu amat bertepatan pada masanya, dengan mengambil kira kesan kejutan ketara berikutan pandemik Covid-19 yang menyaksikan amalan pengurusan sumber manusia terdahulu bertukar jumud.

"Demi memastikan dasar semasa mencakupi pengurusan sumber manusia, faktor penawaran dan permintaan pasaran buruh serta corak pengoperasian pekerja kekal relevan, pelbagai entiti syarikat gergasi di pentas global merencana hala tuju baharu," katanya.

Sehubungan itu, Sivakumar berkata, perincian amalan terbaik diterapkan Bank Dunia, Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) selain pakar dari pelbagai negara luar antaranya Jepun, Norway, Belgium dan Jerman akan menjadi panduan terbaik dalam merungkai kejutan pasaran buruh.

Artikel Berkaitan:

"Dari kaca mata pekerja dan yang masih mencari kerjaya bersesuaian terutama dalam kalangan graduan, penganjuran IPEF 2023 berteraskan komitmen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) iaitu antara agensi seliaan Kementerian Sumber Manusia (KSM) ini bakal memberi sudut pandang baharu mengenai corak permintaan pasaran buruh," katanya.

Ujar beliau, keperihatinan berhubung perkara tersebut penting demi memastikan isu berkaitan ketidakpadanan kerjaya yang masih giat ditangani di Malaysia berupaya mereda dan akhirnya memacu taraf sosioekonomi masyarakat secara keseluruhannya.

"Peningkatan keperluan majikan, khususnya membabitkan jenis kemahiran dan pengalaman tertentu, mengikut sektor pekerjaan adalah antara topik utama yang akan diperhalusi dalam siri perbincangan di pentas IPEF 2023," katanya lagi.

Menurut Sivakumar, secara keseluruhan IPEF 2023 adalah peluang keemasan untuk

dimanfaatkan pelbagai segmen masyarakat di Malaysia kerana ia kunci ke arah anjakan kemajuan pasaran buruh yang menjadi antara penjana utama ekonomi negara.

Forum itu turut akan diserikan dengan kehadiran Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Penasihat Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah, Dr Jomo Kwame Sundaram dan legenda boling negara, Datuk Shalin Zulkifli.

Pelbagai pakar pengurusan daripada AirAsia, Shell, Pos Malaysia dan LinkedIn juga akan memberikan input mereka berkaitan pasaran buruh yang transformatif.

Yuran penyertaan IPEF 2023 dalam kalangan sektor swasta boleh dituntut semula daripada Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) menerusi Skim Bantuan Latihan (SBL).

Pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan ipef2023.perkeso.gov.my.