DBKL gempur penjaja stimbot

Salah sebuah gerai penjaja yang diperiksa DBKL pada Isnin.
Salah sebuah gerai penjaja yang diperiksa DBKL pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus melaksanakan operasi menggempur penjaja stimbot (lolo) di Jalan Haji Hussein dan Jalan Ampang (hadapan LRT Ampang Park) di sini pada Isnin.

Tindakan itu adalah kali kedua dijalankan DBKL selepas lokasi sama diserbu pada 18 Januari lalu.

DBKL memaklumkan, tindakan khas Jabatan Penguatkuasaan dan Pejabat Cawangan Titiwangsa itu dibuat secara mengejut atas pelbagai kesalahan.

"Pemeriksaan dan tindakan meliputi aktiviti perniagaan dan penjajaan yang membuat kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, salah guna lesen, halangan tred perniagaan di tempat awam dan penjaja warga asing," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

DBKL memberitahu, hasil tindakan khas dijalankan itu juga, DBKL mengambil enam tindakan sita dan pindah barangan yang diletakkan di tempat awam terhadap pemilik restoran, gerai, penjaja tanpa lesen warganegara dan penjaja tanpa lesen warga asing.

"Penjaja terlibat didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016," jelas kenyataan itu.

Menurut DBKL, antara peralatan disita seperti kerusi, meja, payung lipat, skuter elektrik, kenderaan lolo dan lain-lain.

"Barangan dan peralatan disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk rekod penyimpanan sementara dan dokumentasi," tambahnya.

Artikel Berkaitan: