Agong tekankan tentang inisiatif ESG

Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli bersama Putera Albert Il melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya, Lanchang tahun lalu.
Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli bersama Putera Albert Il melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya, Lanchang tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah cintakan kelestarian alam dan pembangunan yang terancang dalam pemerintahan Seri Paduka Baginda.

Maka tidak hairanlah, di negeri Pahang sendiri Al-Sultan Abdullah bertitah supaya kerajaan negeri menitikberatkan prinsip ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) dalam setiap perancangan pembangunan.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, susulan itu kerajaan negeri menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Majlis Biodiversiti Pahang untuk memastikan kekayaan alam sekitar dan khazanah hutan negeri berkenaan sentiasa terpelihara.


Fadzli
Fadzli

"Tuanku pernah bertitah, Pahang berjaya mengekalkan tapak biosfera Tasik Chini di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), malah telah merizabkan seluas 32.4 hektar tanah di Lanchang untuk konservasi Harimau Malaya.

"Tuanku juga merizabkan kawasan hutan di Jerantut seluas hampir 135,000 hektar yang dikenali sebagai rizab Harimau Malaya Al-Sultan Abdullah untuk memastikan haiwan itu tidak pupus.

"Begitulah hebat keprihatinan dan kesungguhan Tuanku untuk memastikan segala pembangunan di negeri ini perlu berlandaskan kepada ESG," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:


Fadzli
Fadzli

Sebelum ini Al-Sultan Abdullah ketika menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Lipis sebagai Geopark Kebangsaan di Taman Negara Sungai Relau di Kuala Lipis, Pahang bertitah agar isu kelestarian alam sekitar sebagai keutamaan dan tidak berkompromi dalam soal perancangan pembangunan.

Justeru, baginda mahu kerajaan negeri terus memelihara khazanah alam sekitar supaya ia berkekalan sehingga ke anak cucu.

Dalam pada itu Fadzli turut menyifatkan Yang di-Pertuan Agong mempunyai keperibadian unggul selaku Ketua Agama Islam di Pahang.

Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli bersama Putera Albert Il melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya, Lanchang pada Selasa. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli bersama Putera Albert Il melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya, Lanchang pada Selasa. Foto Bernama

Beliau berkata, baginda sentiasa bertindak menasihati agensi-agensi di bawah kerajaan negeri berhubung urus tadbir dan kemajuan institusi agama Islam.

"Kita boleh lihat bagaimana Tuanku memiliki sebuah universiti Islam iaitu Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) yang semakin maju dan berkembang.

"Selain itu maahad tahfiz di bawah kelolaan Yayasan Pahang menjadi contoh antara institusi terbaik di negara ini.

"Pelbagai isu yang berkait dengan pembangunan Islam diurus dengan cukup tertib, cermat dan baik bagi memastikan Pahang terus berada dalam keadaan aman, makmur, harmoni dan sejahtera," ujarnya.