Pesakit resah fikirkan harga ubat

Harga ubat-ubatan dan produk farmaseutikal yang dijangka mengalami peningkatan antara lima hingga 10 peratus di negara ini dalam masa terdekat tidak mustahil akan membuatkan segelintir orang ‘naik darah’ sewaktu mahu membayar harga baharu itu nanti.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Harga ubat-ubatan dan produk farmaseutikal yang dijangka mengalami peningkatan antara lima hingga 10 peratus di negara ini dalam masa terdekat tidak mustahil akan membuatkan segelintir orang ‘naik darah’ sewaktu mahu membayar harga baharu itu nanti.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

HARGA ubat-ubatan dan produk farmaseutikal yang dijangka mengalami peningkatan antara lima hingga 10 peratus di negara ini dalam masa terdekat tidak mustahil akan membuatkan segelintir orang ‘naik darah’ sewaktu mahu membayar harga baharu itu nanti.

Perkara itu meresahkan rakyat terutamanya bagi golongan yang bergantung kepada ubat-ubatan dan produk farmaseutikal untuk merawat penyakit kronik lebih-lagi ketika ini mereka juga sudah sedia bergelut dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Minggu lalu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Profesor Amrahi Buang berkata, jangkaan kenaikan itu berlaku sekiranya syarikat pembuatan ubat di Amerika Syarikat (AS) bertindak menaikkan harga pasaran.

Hal ini kerana menurutnya, lebih daripada separuh produk farmaseutikal yang memasuki negara ini diimport dari sana.

Wall Street Journal pada 18 Januari lalu pula melaporkan pengeluar menaikkan harga sebanyak 775 ubat termasuk jenis Ozempic dan Mounjaro yang digunakan untuk merawat diabetes bermula awal tahun ini.

Hakikat yang tidak boleh dinafikan, Malaysia merekodkan jumlah pesakit diabetes yang tertinggi di Asia Tenggara berdasarkan hasil Kajian Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019.

Pada 23 November lepas, Menteri Kesihatan ketika itu, Dr Zaliha Mustafa berkata, hasil kajian tersebut mendapati jumlah pesakit kencing manis di negara ini mencatatkan peningkatan ketara daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 18.3 peratus pada 2019.

Katanya, kencing manis menyebabkan pelbagai komplikasi kepada penghidapnya iaitu berisiko untuk mendapat penyakit jantung, strok, kerosakan saraf, mata dan kegagalan buah pinggang.

Artikel Berkaitan:

Dengan pelbagai komplikasi yang berisiko dihadapi, sudah pasti bekalan ubat-ubatan yang mencukupi menjadi satu keperluan golongan berkenaan dan mahu atau tidak mereka terpaksa menanggung kosnya terutama seandainya terpaksa membeli sendiri ubat itu di hospital dan klinik swasta atau farmasi luar.

Itu belum disentuh lagi tentang penyakit-penyakit kronik lain seperti kanser yang diketahui umum harga ubatnya sangat mahal selain penyakit kardiovaskular (jantung) dan darah tinggi turut dihidapi ramai rakyat.

Berikutan itu, Sinar Harian pada Ahad melaporkan ada antara rakyat menyuarakan kebimbangan kenaikan harga ubat-ubatan tersebut bakal memberi tekanan kewangan kepada mereka.

Secara puratanya, ada antara mereka ketika ini membelanjakan hampir RM500 sebulan untuk pembelian ubat termasuk vitamin, suplemen dan susu.

Justeru, seorang penjawat awam, Subramaniam Murugaya, 36, berharap, Malaysia yang mempunyai banyak hubungan baik dengan negara-negara pengeluar ubat-ubatan dan produk farmaseutikal mempunyai solusi terbaik bagi menangani masalah kenaikan harga berkenaan.

Sememangnya tindakan perlu dilakukan kerajaan bagi mengelakkan apa-apa kenaikan ubat-ubatan tidak terlalu membebankan rakyat kerana dikhuatiri jika perkara itu dibiarkan tahap kesihatan rakyat sendiri akan merosot pada mada depan.

Salah satu pendekatan boleh dilakukan mungkin kerajaan mengadakan rundingan dengan syarikat farmaseutikal tempatan untuk memastikan harga ubat dapat dikekalkan pada tahap yang berpatutan.

Syarikat farmaseutikal tempatan tersebut antaranya, Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga), Duopharma Biotech Bhd dan NMC Health Care.

Walaupun tidak dinafikan syarikat farmaseutikal berkenaan juga mengalami kesukaran untuk mengekalkan harga ubat-ubatan memandangkan bahan mentah untuk penghasilan ubat itu atau bahan farmaseutikal aktif (API) juga terpaksa diimport daripada luar negara.

arga bahan mentah itu turut mahal disebabkan kemerosotan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Dengan harga ubat yang semakin naik setiap tahun juga, sepatutnya ia memberi kesedaran kepada orang ramai untuk lebih menjaga kesihatan dengan mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat sebagai pencegahan kepada pelbagai penyakit kronik yang mengancam nyawa dan kualiti hidup mereka.

*Raiham Mohd Sanusi ialah Wartawan Meja Am Sinar Harian