'Tuanku suka solat berjemaah bersama rakyat'

Seri Paduka Baginda bersama Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Maran.
Seri Paduka Baginda bersama Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Maran.
A
A
A

SHAH ALAM - Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman menyifatkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai seorang raja yang amat mengambil berat tentang agama.

Dr Abdul Rahman berkata, sepanjang beliau mengenali Tuanku, baginda sangat tegas dalam menjaga hal ehwal agama Islam dan tidak akan berkompromi tentang perkara berkenaan.

"Sebenarnya Tuanku adalah insan yang amat mengambil berat tentang agama, dan Tuanku menerima apa sahaja hukum-hakam yang difatwakan atau pun masalah berkaitan agama ini, tidak pernah Tuanku menghalang atau membantah (pelaksanaannya).

"Maknanya Tuanku menerima segalanya, apa sahajalah berkaitan dengan hukum hakam ini. Sebagai seorang Islam baginda menerima perkara itu, kita juga (Jabatan Mufti) tiada halangan untuk mengeluarkan fatwa, memberikan pandangan tentang hukum hakam berdasarkan hukum syarak," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu katanya, mengenali sosok baginda yang mungkin ramai yang tidak mengetahuinya, bahawa baginda sukakan solat secara berjemaah bersama rakyat.

"Berkaitan solat berjemaah ini, apabila Tuanku tahu bahawa solat berjemaah merupakan fardu kifayah kepada umat Islam dalam mazhab Syafie...Tuanku berusaha untuk solat bersama ahli kariah.

Yang di-Pertuan Agong berkenan merasmikan Masjid Al-Sultan Abdullah di Kampung Sungai Bedaun, Wilayah Persekutuan Labuan pada 31 Mac 2023. Facebook Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong berkenan merasmikan Masjid Al-Sultan Abdullah di Kampung Sungai Bedaun, Wilayah Persekutuan Labuan pada 31 Mac 2023. Facebook Istana Negara

"Insya-ALLAH apabila Tuanku pulang ke Pahang, baginda akan sentiasa solat berjemaah khususnya waktu subuh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya lagi, kehadiran Al-Sultan Abdullah di mana-mana surau atau masjid bukan sekadar untuk solat berjemaah, bahkan baginda turut mengisi masa di rumah ALLAH untuk membaca al-Quran dan menyertai majlis tazkirah.

"Baginda sukakan majlis-majlis ilmu, maknanya penerimaan agama oleh Tuanku ini sungguh tinggilah. Tuanku juga lepas berjemaah sudah menjadi kelaziman untuk mengajak ahli kariah untuk makan roti canai pagi-pagi.

"Itulah yang kita dapat lihat sikap Tuanku amat kukuh dan mesra dengan rakyat, satu perkara yang jarang dibuat dan kita mengharapkan Tuanku sebagai contoh yang baik kepada pemimpin-pemimpin lain," katanya lagi.

Katanya, Al-Sultan Abdullah boleh disifatkan juga sebagai seorang yang kuat pegangan agamanya.

"Tuanku tidak meninggalkan solatnya, kita lihat baginda juga mengingatkan kepada anak-anak baginda supaya mengutamakan solat.

"Jika ada perasmian masjid baharu misalnya, Tuanku akan mengajak rakyat sekitar untuk turut hadir bagi menunaikan solat secara berjemaah," katanya.

Dalam pada itu juga katanya, sudah menjadi kelaziman Al-Sultan Abdullah menjelang bulan Ramadan menziarahi dari satu masjid ke satu masjid.

"Biasanya Tuanku bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bersama anakanda-anakanda. Jadi kita lihat ini merupakan satu ikutan yang sangat baik yang dibuat oleh Tuanku," katanya.