RM12.5 juta perkasa program pendidikan di Selangor

Mohamad Zahri (tiga kiri) melawat ruang pameran pada Program Tekad Pendidikan #KitaSelangor di Pusat Konvensyen Shah Alam pada Isnin.
Mohamad Zahri (tiga kiri) melawat ruang pameran pada Program Tekad Pendidikan #KitaSelangor di Pusat Konvensyen Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak RM12.5 juta diperuntukkan bagi memperkasakan pendidikan di negeri Selangor melalui pelbagai program termasuk tuisyen rakyat dan baik pulih sekolah.

Peruntukan itu disalurkan kerajaan negeri bersama anak syarikatnya, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) melalui enam program diperkenalkan kerajaan negeri sebelum ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Bahagian Pengurusan, Mohamad Zahri Samingon berkata, sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk Program Tuisyen Rakyat Selangor.

Jelasnya, RM3 juta disalurkan daripada kerajaan negeri manakala RM7 juta daripada MBI.

“Yang kedua adalah peruntukan bagi membaiki infrastruktur beberapa buah sekolah, iaitu berjumlah RM1 juta,” katanya pada Program Tekad Pendidikan #KitaSelangor di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini pada Isnin.

Jelasnya, peruntukan akan diagihkan bermula tahun ini, namun peruntukan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa buah sekolah berjumlah RM500,000 sudah diagihkan tahun lalu.

Bagi memperkasakan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pula kerajaan negeri memberikan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan beberapa program berkaitan empat pendidikan itu.

Menurutnya, negara memerlukan graduan STEM untuk membantu mencari penyelesaian bagi pelbagai masalah global antaranya seperti perubahan iklim.

Artikel Berkaitan:

“Sehubungan itu, kerajaan negeri sentiasa memberikan perhatian dan komited kepada usaha pemerkasaan STEM," tambahnya.