Dua lelaki didenda RM10,000 seludup 78 ekor kambing jantan

Ketiga-tiga tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Setiu pada Isnin atas dakwaan menyeludup dan memindahkan kambing dalam kejadian pada Julai dan September tahun lalu.
Ketiga-tiga tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Setiu pada Isnin atas dakwaan menyeludup dan memindahkan kambing dalam kejadian pada Julai dan September tahun lalu.
A
A
A

SETIU - Dua lelaki masing-masing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Setiu di sini pada Isnin selepas mengaku salah menyeludup 78 ekor kambing jantan pada 13 Disember tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari selepas tertuduh, Muhammad Hafihnizam Idris, 30, dan Mohammad Sharif Abd Rahman, 23, mengaku bersalah menyeludup haiwan ternakan bernilai RM22,951.20 yang dipercayai dibawa masuk dari Thailand.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memindahkan 78 kambing yang dimasukkan ke dalam guni setiap seekor menggunakan lori jenis Isuzu tanpa memiliki Perakuan Kebenaran Pindah dan Perakuan Kesihatan Veterinar daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu atau pegawai yang diberi kuasa olehnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan, Kampung Penarik di Permaisuri di sini sekitar jam 7.50 petang.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut perenggan 4(1)(c) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Hawar Berdarah bagi (Negeri Terengganu) (Tr.P.U.1) 2023 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 36 (7) akta sama yang membawa denda maksimum RM15,000.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut serta hasil jualan kambing jantan itu dilucutkan hak menjadi hasil kerajaan.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pemandu lori didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah atas kesalahan memindahkan 49 ekor kambing betina disyaki dari Thailand bernilai RM13,160 tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Farhan Ab Rahim, 36, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan dihadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memindahkan 49 ekor kambing betina tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah JPV Negeri Terengganu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhadapan Mahkamah Setiu, Setiu, Terengganu, di sini, kira-kira jam 8.45 malam pada 12 Julai tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Perenggan i (b) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku Dan Mulut Dan Hawar Berdarah bagi Negeri Terengganu yang diwartakan di bawah Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 36(7) akta sama yang membawa denda maksimum RM15,000.

Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan kambing betina bernilai RM13,160 itu dilucutkan hak menjadi hasil kerajaan.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara 8 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Prosiding pendakwaan kedua-dua kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa JPV, Mohd Shahihan Mohd Tahar sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Dua kes berkenaan terbongkar hasil risikan dibuat penguat kuasa JPV Terengganu susulan aduan penjualan kambing murah atau dikenali dengan 'kambing viral' yang mana dibawa masuk dari Thailand ke Malaysia secara haram.