Pemuda PH guna pendekatan bersemuka dekati pengundi muda

Syed Saddiq (tiga dari kanan) ketika pelancaran Jentera Pemuda PH bagi PRK Parlimen Kimanis di sini hari ini.
Syed Saddiq (tiga dari kanan) ketika pelancaran Jentera Pemuda PH bagi PRK Parlimen Kimanis di sini hari ini.
A
A
A

KIMANIS - Pemuda Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan pendekatan tersendiri dengan bersemuka dengan pengundi muda bagi memastikan kemenangan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari ini.

Ketua Pemuda PH yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, terdapat kira-kira 6,000 pengundi muda di bawah umur 35 tahun di Parlimen Kimanis yang perlu didekati bagi mengetahui aspirasi dan permasalahan mereka.

"Pemuda PH akan gempur untuk berjumpa mereka dengan pelbagai pendekatan antaranya rumah ke rumah, warung ke warung, pejabat ke pejabat untuk memahami permasalahan mereka.

"Beri khidmat sebaik mungkin, kita ingin memperkasa politik khidmat supaya akhirnya anak muda lihat kita ini mendengar dan cuba selesaikan masalah mereka," katanya selepas melancarkan Jentera Pemuda PH bagi PRK Parlimen Kimanis di sini hari ini.

Turut hadir, calon Warisan, Datuk Karim Bujang dan Ketua Bahagian Bersatu Kimanis, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Syed Saddiq berkata, pendekatan itu bukanlah baharu dan tidak hanya ketika pilihan raya, sebaliknya sudah digunakan sebelum ini sesuai dengan tanggungjawabnya sebagai Menteri Belia dan Sukan.

"Sebagai menteri, saya sudah tiga kali datang ke Parlimen Kimanis termasuk mengadakan sesi 'town hall' di Membakut pada tahun lepas.

"Beberapa perkara mengenai pembangunan belia di kawasan Parlimen Kimanis perlu diberi perhatian termasuk berkaitan isu akses kepada pendidikan, kos sara hidup, perumahan serta berhubung sukan dan belia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Syed Saddiq meminta ahli Pemuda PH di Sabah supaya tidak terlalu yakin bagi menghadapi pilihan raya kecil tersebut walaupun Warisan adalah parti pemerintah di negeri ini.

"Kita perlu kerja keras. Lakukan kerja dengan ikhlas dan pergi jumpa seramai pengundi muda yang boleh, dengar masalah mereka,” katanya.

PH adalah rakan sekutu Warisan di Sabah bersama sebuah lagi parti tempatan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO). - Bernama