Agong, Raja Permaisuri istimewa di hati rakyat Sabah - Hajiji

Kehadiran Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sempena Kembara Kenali Borneo mendapat sambutan yang hangat di kalangan rakyat. - Foto Bernama
Kehadiran Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sempena Kembara Kenali Borneo mendapat sambutan yang hangat di kalangan rakyat. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan sentiasa terpahat di sanubari rakyat Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, rakyat Sabah akan mengingati keperibadian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang terkenal dengan sifat merendah diri ketika menyantuni rakyat seperti yang terserlah semasa lawatan bersejarah keluarga diraja itu sempena Kembara Kenali Borneo pada September lepas yang telah menjadikan pasangan diraja itu bertakhta di hati rakyat Sabah.

Al- Sultan Abdullah berkenan melambai orang ramai sempena Kembara Kenali Borneo. - Foto Bernama
Al- Sultan Abdullah berkenan melambai orang ramai sempena Kembara Kenali Borneo. - Foto Bernama

"Seri Paduka Baginda sentiasa prihatin ketika menyantuni rakyat yang dalam kesusahan," kata Hajiji dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini selepas menghadiri Majlis Jamuan Negara sempena tamat pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi.

Hajiji berkata, bagi pihak kerajaan Sabah, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Seri Paduka Baginda atas khidmat bakti baginda kepada negara dan mengucapkan selamat maju jaya kepada pasangan diraja serta keluarga baginda.

Al-Sultan Abdullah akan menamatkan tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa (30 Januari). - Bernama

Artikel Berkaitan: