30,000 rakyat dijangka sambut keberangkatan Sultan Johor ke Istana Negara

Kumar
Kumar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dianggarkan 30,000 rakyat Johor akan berada di sepanjang laluan Istana Bukit Serene sehingga Johor Royal Hangar, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai sempena Istiadat Keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke Istana Negara pada Rabu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, laluan sepanjang 35.5 kilometer (km) itu akan ditutup selama sejam bermula jam 7.45 pagi, bagi memastikan kelancaran konvoi Sultan Johor.

"Pergerakan konvoi Sultan Ibrahim bermula 8 pagi dan dijangka mengambil masa sejam untuk tiba di Johor Royal Hangar, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

"Sepanjang jalan orang ramai akan berbaris di kiri dan kanan jalan untuk mengalu-alukan konvoi diraja. Terdapat 15 'checkpoint' rakyat akan menunggu di sepanjang jalan dengan membawa bendera.

"Saya nasihatkan orang ramai yang keluar bekerja atau ke lapangan terbang keluar awal atau menggunakan jalan alternatif yang ada," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Ahad.

Dalam pada itu, Kumar memberitahu seramai 1,200 anggota polis termasuk bantuan daripada pihak berkuasa tempatan akan terlibat memastikan keselamatan orang ramai pada istiadat itu nanti.

"Saya minta orang ramai patuhi undang-undang yang dikeluarkan pegawai dan anggota polis yang bertugas bagi memastikan kelancaran pergerakan konvoi diraja.

"Orang ramai tidak perlu bimbang dengan keselamatan mereka dan dialu-alukan hadir menyambut konvoi diraja sepanjang jalan. Ini kerana pada Rabu ini merupakan sejarah paling bermakna untuk Johor," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan Selasa ini.

Baginda akan mula bersemayam di Istana Negara, Kuala Lumpur mulai Rabu ini bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun.