Pindaan perlembagaan tumpuan utama mesyuarat MPT Bersatu malam ini

Razali
Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Pindaan terhadap perlembagaan parti menjadi antara agenda utama Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan berlangsung pada malam Ahad.

Ketua Penerangannya, Datuk Razali Idris berkata, ia susulan tindakan segelintir ahli Parlimen yang dilihat menguji keras parti itu, termasuk tindakan terbaharu Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada masa sama, beliau menafikan khabar angin yang mendakwa Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan digantikan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Ahli MPT.

“Pasal isu tular, saya tak nak komen sebab tidak tahu menahu tentang perkara itu. Ada dakwaan yang kata ada gerakan, entah daripada mana cerita itu datang.

“Cuma kita dimaklumkan agenda utama nanti adalah nak pinda perlembagaan tentang tindakan mengalih sokongan kepada PM. Bagaimana nak atasi masalah ini, itu adalah perkara pokok.

“Tidak timbul juga isu Perikatan Nasional (PN) nak sokong kerajaan sebab ia langsung tak terlintas dalam minda kita,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mesyuarat MPT Bersatu akan berlangsung pada Ahad bermula jam 8.30 malam di Ibu Pejabat PN di Publika, Kuala Lumpur.

Mesyuarat kali ini menjadi tumpuan ramai susulan dakwaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan memecat Hamzah.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang juga ahli Bersatu sebelum ini mendedahkan, parti itu kini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ‘Kem Presiden’ dan ‘Kem Setiausaha Agung’.

Perkara itu berlaku susulan tindakan Muhyiddin yang membuat ‘pusingan U’ selepas mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan akan datang.

Rentetan daripada peristiwa itu, Syed Abu Hussin Hafiz mendakwa, ia melemahkan moral ahli yang benar-benar mahu melihat perubahan Bersatu dan difahamkan ramai mahukan Hamzah menerajui parti kerana dilihat berkemampuan serta berkebolehan.

Selain itu, tindakan Zulkafperi yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri dilihat semakin melemahkan Bersatu.

Zulkafperi menjadi individu keenam daripada Bersatu berbuat sedemikian selepas Syed Abu Hussin Hafiz, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Susulan kejadian terbabit, Syed Abu Hussin Hafiz yang sebelum ini turut melakukan perkara sama telah mengesahkan 10 lagi ahli Bersatu akan mengumumkan sokongan terhadap kerajaan menjelang persidangan Dewan Rakyat bermula pada 26 Februari nanti.

Beliau mendakwa, mereka yang terlibat ialah lima ahli Parlimen dari Utara (Kedah, Perak dan Pulau Pinang), tiga dari negeri Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) serta dua dari Selangor dan Melaka.