Aksem rampas mercun bernilai RM84,000

Rusli (tengah) bersama anggota menunjukkan mercun yang dirampas di Pulai Chondong, Machang.
Rusli (tengah) bersama anggota menunjukkan mercun yang dirampas di Pulai Chondong, Machang.
A
A
A

KOTA BHARU - Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) merampas 84 kotak mercun bernilai RM84,000 yang dipercayai diseludup sempena sambutan Tahun Baru Cina di Pulai Chondong, Machang semalam.

Komander Aksem Kelantan, Rusli Karim berkata, mercun jenis Special Cake 199 Shots, Happy Boom Colouring Fountaim dan Happy Boom Red Fire Crackers yang diseludup menggunakan lori 2 tan itu dirampas sepasukan anggota Unit Operasi Aksem Kelantan kira-kira jam 12.15 malam.

"Anggota mengesan kegiatan penyeludupan mercun di sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok dan menjalankan intipan sehingga ke sebuah lokasi di Kampung Bukit Pangkal Gong.

“Anggota serbuan kemudian berjaya menjejaki sebuah lori mencurigakan yang diletakkan di tepi sebuah rumah tidak berpenghuni di kampung itu,” katanya pada sidang media di Pejabat Aksem di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam ruangan muatan belakang lori menemui kotak-kotak pelbagai jenis mercun dipercayai untuk tujuan perayaan.

"Setelah menunggu hampir 30 minit tidak ada yang menuntut barangan itu dan lori kemudian dibawa balik ke Pejabat Aksem Kelantan untuk siasatan," katanya.

Lori dan mercun yang dirampas dengan keseluruhan bernilai RM114,000 akan diserahkan kepada Kastam untuk tindakan selanjutnya.
Lori dan mercun yang dirampas dengan keseluruhan bernilai RM114,000 akan diserahkan kepada Kastam untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, rampasan tersebut adalah kes pertama tahun ini dengan modus operandi kumpulan penyeludup iaitu menjadikan kampung berkenaan sebagai lokasi transit penyeludupan mercun.

Artikel Berkaitan:

“Mercun ini pada mulanya dipercayai dibawa masuk dari negara jiran secara salah melalui jalan air di pangkalan haram dengan menggunakan bot-bot kecil.

“Mercun-mercun itu kemudian dipunggah ke dalam lori dan dibawa sejauh 50km ke Pulai Chondong, Machang,” katanya.

Rusli berkata, ketika diserbu dipercayai ada kenderaan lain yang akan datang memindahkan bekalan ke sebuah lori lain untuk dibawa ke pasaran di Lembah Klang, Selangor.

"Harga mercun sempena Tahun Baru Cina meningkat lebih tiga kali ganda susulan peningkatan permintaan daripada orang ramai.

“Di Takbai dan Golok, 100 butir mercun dijual dengan harga RM8 dan apabila sampai di Kuala Lumpur harganya boleh mencecah RM100," katanya.

Katanya, barang rampasan akan diserah kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.