Penduduk di Lahad Datu rasai gegaran gempa bumi

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

LAHAD DATU - Gempa bumi lemah berukuran 3.6 pada skala Richter yang berlaku di perairan timur Sabah pada jam 2.11 petang tadi turut dirasai gegarannya oleh penduduk di daerah ini.

Seorang guru, Noor Faradzilla Iswana Ommar, 30, berkata, beliau dapat merasai gegaran itu lebih kurang seminit ketika berada di rumahnya di tingkat empat sebuah kuarters di tengah bandar di sini.

"Ketika itu saya sedang mengayun buaian untuk menidurkan anak, tapi tiba-tiba saya rasa seperti ada gegaran ingatkan kerana buaian, yang menyebabkan saya pening," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Di kuarters sama, sukarelawan polis, Bibi Sharmiezza Mohd Rafi Khan, 31, turut merasai gegaran itu ketika sedang mengemas rumah.

"Gegaran itu lemah sahaja tetapi menyebabkan saya rasa pening," katanya yang tinggal di tingkat satu kuarters terbabit.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung gegaran akibat gempa bumi tersebut.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memberitahu pusat gempa itu terletak di 6.2 darjah utara dan 118.4 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer iaitu 57 kilometer timur laut dari Sandakan.

Sementara itu di Sandakan, penduduk yang ditemu bual tidak merasakan gegaran berhubung kejadian gempa itu.

Artikel Berkaitan:

Lahad Datu dan Sandakan merupakan daerah di pantai barat Sabah terletak 168 kilometer antara satu sama lain. - Bernama