Projek SAMA pertahan desakan peruntukan FTPA

Projek SAMA pertahan desakan peruntukan FTPA. Foto Bernama
Projek SAMA pertahan desakan peruntukan FTPA. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) mempertahankan desakan supaya Akta Parlimen Berpenggal Tetap (FTPA) disertakan sekali dengan pindaan mewajibkan perdana menteri yang baharu dilantik mendapat undi percaya di Dewan Rakyat.

Projek SAMA dalam satu kenyataan berkata, ia bagi menghapuskan amalan pengumpulan dan pengiraan jumlah surat akuan bersumpah (SD).

Justeru menurutnya, akta tersebut memerlukan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat (PMDR) untuk mengutamakan usul percaya dan usul tidak percaya dalam urusan parlimen bagi semua keadaan.

“FTPA boleh memperbaiki kepincangan ini dengan mengutamakan usul-usul percaya dan tidak percaya untuk digunakan dalam semua keadaan, tidak terhad kepada pelantikan perdana menteri baharu sahaja.

“Kami tidak bersetuju dakwaan bekas Speaker, Tan Sri Azhar Azizan Harun bahawa undi percaya dibentangkan terhadap setiap perdana menteri baharu bagi mengesahkan majoritinya adalah bertentangan dengan Perlembagaan.

“Undi percaya telah dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022 walaupun ia bukan usul percaya dalam erti konvensional kerana tiada pengundian berbahagi dan mukadimah yang sarat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Gerakan menyuarakan reformasi institusi itu mengulas kenyataan dibuat Azhar berhubung segala usaha perdana menteri yang baharu dilantik untuk mendapatkan undi percaya di Dewan Rakyat bertentangan dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Jelas Azhar lagi, ia kerana ketua kerajaan dan jemaah menteri sudah mendapat pengesahan daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta tiada keperluan untuk mempersoalkan undi percaya.

Artikel Berkaitan:

Projek sama turut memaklumkan, FTPA memudahkan pembentangan satu usul percaya atau tidak percaya bagi mengenal pasti kewujudan majoriti perdana menteri pada bila-bila masa sedangkan Usul Percaya Pengesahan (CVC) hanya mekanisme khas untuk mengukuhkan keabsahan kerana politik boleh berubah.

Tambahnya, ketika YDPA membuat pertimbangan dalam pemilihan perdana menteri dan persidangan Parlimen hari pertama, sebarang kemungkinan boleh berlaku, maka CVC tidak memberi kesan negatif kepada mana-mana institusi semata-mata kerana sokongan majoriti disahkan di Dewan Rakyat.

“Sebaliknya ia akan memperkasakan kedua-dua institusi raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Walaupun ada perkaitannya, namun CVC adalah topik yang berbeza.

“Di peringkat ini, kami mengalu-alukan lebih banyak perbahasan tentang kebaikan dan keburukan FTPA,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Projek SAMA meminta Kabinet untuk menerbitkan kertas hijau ke atas FTPA bagi mencegah maklumat tidak benar sepertimana yang dicadangkan Pengerusi Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.