'Letak tepi impian ambil alih kerajaan' - Syahredzan

Tangkap layar hantaran Syahredzan di aplikasi X pada Sabtu.
Tangkap layar hantaran Syahredzan di aplikasi X pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pimpinan Perikatan Nasional (PN) digesa supaya segera memulakan rundingan dengan Kerajaan Perpaduan mengenai peruntukan ahli Parlimen berbanding meneruskan 'impian' untuk merampas pentadbiran negara.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, ini kerana semua pihak perlu menerima hakikat bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan yang diterajui beliau akan kekal sehingga habis penggal.

Justeru, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP berharap tiada sebarang percubaan untuk mengganggu-gugat kerajaan sedia ada dengan pelbagai langkah politik.

"Kita pernah ada ‘precedent’ atau duluan sebelum ini dengan Memorandum Kesefahaman (MoU) di antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan yang ditadbir Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Kalau ikut MoU itu, tidak perlu nyatakan sokongan kepada kerajaan secara jelas pun, hanya berjanji untuk tidak menyokong tindakan menumbangkan kerajaan.

"Sama seperti Akta Lompat Parti dahulu, rundingan yang diadakan juga boleh masukkan sekali penggubalan akta untuk menginstitusikan peruntukan ahli Parlimen sebagai salah satu syarat, supaya perkara ini tidak lagi terletak pada budi bicara Perdana Menteri di masa hadapan," katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Sabtu.

Menerusi hantaran sama, beliau turut memuat naik video sidang akhbar Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mendakwa terdapat 10 lagi ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengumumkan sokongan terhadap Perdana Menteri.

Datuk Syed Abu Hussin pada Jumaat dilapor berkata, mereka yang terlibat ialah lima ahli Parlimen dari Utara (Kedah, Perak dan Pulau Pinang), tiga dari negeri Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) serta dua dari Selangor dan Melaka

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Syahredzan dalam masa sama turut mengajak semua pihak dalam kerajaan dan pembangkang untuk sama-sama memastikan Malaysia berada di landasan yang betul.