Ahli Parlimen digesa sertai solidariti dengan rakyat Palestin

Hassan - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Hassan - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen digesa untuk sertai solidariti dengan perjuangan rakyat Palestin berikutan keganasan yang berlaku kini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, wakil pertubuhan kebudayaan Palestin telah hadir ke Parlimen Malaysia pada bulan lalu untuk berjumpa dengan ahli dari blok kerajaan, namun tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan.

“Lebih sebulan yang lalu ada satu delegasi Palestin dari sebuah pertubuhan kebudayaan datang ke Parlimen Malaysia untuk berjumpa dengan ahli-ahli Parlimen dari blok kerajaan.

“Ketika itu, tidak ramai ahli Parlimen yang hadir kecuali beberapa ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang masih berminat, menyokong dan bersimpati dengan perjuangan rakyat Palestin,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia kekal bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin.

Jelasnya, masyarakat antarabangsa secara berterusan mengambil tindakan berat sebelah terkait segala bentuk kekejaman dan penindasan terhadap rakyat Palestin.

Sementara itu, Hassan berkata, perkara yang ditegaskan sewaktu perjumpaan pada bulan lalu adalah mengenai perjuangan kemerdekaan rakyat Palestin dari penjajahan zionis Israel.

“Saya katakan bahawa rakyat Palestin jangan sama sekali tinggalkan perjuangan bersenjata.

Artikel Berkaitan:

“Pada awal pagi Sabtu, selepas Subuh pada 7 Oktober 2023 rakyat Palestin bangkit kembali, para pejuang Palestin telah berjaya menebus maruah mereka. Hidup perjuangan rakyat Palestin!” ujarnya.