Ringgit dijangka didagangkan sekitar RM4.72 hingga RM4.73 minggu depan

Ringgit dijangka didagangkan sekitar RM4.72 hingga RM4.73 minggu depan. Gambar hiasan
Ringgit dijangka didagangkan sekitar RM4.72 hingga RM4.73 minggu depan. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka didagangkan sekitar julat 4.72 hingga 4.73 minggu depan, dengan penurunan terhad memandangkan mata wang tempatan secara teknikalnya berada dalam keadaan terlebih jual, kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelabur memberi tumpuan kepada data Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat, terutama pembayaran gaji bukan ladang (NFP) bagi Januari.

Data NFP dijangka turun kepada 162,000 pekerjaan daripada 216,000 pekerjaan pada Disember lepas.

Beliau berkata, perkara lebih penting adalah mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) yang dijadualkan pada 30 hingga 31 Januari ini, dengan kebanyakan ahli ekonomi menjangkakan Fed mengekalkan status quo.

"Berdasarkan niaga hadapan kadar faedah, penurunan kadar faedah pertama pada Mac telah berkurangan daripada 73.6 peratus pada 11 Jan, 2024 kepada 50.4 peratus pada masa ini, yang boleh memberikan sokongan kepada dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, sidang akhbar pasca FOMC pada 31 Januari ini boleh memberi kesan terhadap jangkaan pasaran mengenai pengurangan kadar faedah bagi suku pertama.

"Walaupun mungkin berlaku turun naik, melainkan tercetus peningkatan ketegangan geopolitik AS-China, ringgit dijangka tidak mengalami penurunan ketara daripada paras semasa terutama apabila beberapa pengurangan kadar faedah AS telah diambil kira bagi 2024.

"Walau bagaimanapun, menjelang laporan Pekerjaan dan Indeks Harga Pengguna (IHP) AS untuk Januari yang akan dikeluarkan pada awal Februari ini, turun naik ketara pasaran mungkin berterusan dan pergerakan meningkat ringgit yang ketara adalah mustahil sehingga pelaporan berisiko tinggi ini berlalu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, mata wang tempatan didagangkan bercampur-campur ekoran sentimen prospek ekonomi global termasuk China dan AS selain pengurangan kadar faedah AS yang tidak pasti.

Pada Rabu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus menerusi mesyuarat pertama bagi 2024, menandakan mesyuarat MPC keempat berturut-turut memutuskan kadar utama dikekalkan tidak berubah.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS pada 4.7275/7325 daripada 4.7160/7210 pada minggu lepas.

Unit domestik juga didagangkan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit turun berbanding yen Jepun kepada 3.1988/2024 daripada 3.1871/1907 minggu lepas, dan susut berbanding pound Britain kepada 6.0120/0183 daripada 5.9822/9886.

Mata wang tempatan juga kurang stabil berbanding euro kepada 5.1279/1333 daripada 5.1324/1379.

Ringgit didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang negara Asean.

Unit domestik rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.5267/5307 daripada 3.5176/5216 pada Jumaat minggu lepas dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2679/2879 daripada 13.2733/2941.

Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 298.7/299.1 daripada 301.9/302.4 pada Jumaat minggu lepas dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 8.39/8.41 daripada 8.43/8.44. - Bernama