Op Noda Khas: 17 premis pelacuran digempur

Polis menyerbu premis disyaki menjalankan kegiatan pelacuran menerusi Op Noda Khas pada Khamis. Foto IPK Johor
Polis menyerbu premis disyaki menjalankan kegiatan pelacuran menerusi Op Noda Khas pada Khamis. Foto IPK Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 17 premis dipercayai terbabit aktiviti pelacuran di seluruh negeri diserbu dalam Op Noda Khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) pada Khamis.

Serbuan itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) JSJ seluruh kontinjen negeri.

Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M Kumar berkata, seramai 67 individu ditahan terdiri daripada lapan lelaki tempatan, empat wanita tempatan dan 55 warga asing berusia 21 hingga 61 tahun.

"Dalam serbuan ini juga, polis merampas wang tunai berjumlah RM 57,447 dan pelbagai jenis dadah dengan anggaran berat 2.58 kilogram (kg).

"Turut dirampas pelbagai jenis telefon bimbit, botol minyak urut, tisu, pelincir jenama KY, kondom, resit dan jadual kerja," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, kesemua tangkapan dibawa ke mahkamah bagi permohonan tahanan reman sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976; Seksyen 372 Kanun Keseksaan; Seksyen 372B Kanun Keseksaan; Seksyen 373 Kanun Keseksaan; Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15 (1)(c) dan Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut M Kumar, polis Johor akan menjalankan operasi secara berterusan bagi membanteras kegiatan pelacuran di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak atau individu yang cuba mengambil kesempatan menjalankan aktiviti ini.

"Kejayaan operasi ini adalah hasil dari maklumat dan risikan polis serta maklumat orang awam," katanya.