Padah seludup tanduk badak sumbu, lelaki dipenjara dua tahun

Tanduk badak sumbu yang dirampas daripada seorang warga Afrika Selatan. Foto AFP
Tanduk badak sumbu yang dirampas daripada seorang warga Afrika Selatan. Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun terhadap seorang lelaki warga Afrika Selatan yang menyeludup masuk tanduk badak sumbu ke republik tersebut.

Lelaki dinamakan sebagai Gumede Sthembiso Jeol telah ditahan di lapangan terbang Changi, Singapura pada tahun 2022 selepas pihak berkuasa menemui 20 tanduk mamalia itu seberat 34.7 kilogram disembunyikan dalam begnya.

Anjing penghidu mengesan tanduk itu di dalam bagasinya semasa dia dalam perjalanan dari Afrika Selatan ke Laos melalui Singapura.

Satu tanduk itu dianggarkan bernilai AS$895,000 (RM4.2 juta) yang dianggap rampasan terbesar tanduk badak sumbu di Singapura.

Lelaki berusia 33 tahun itu dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyeludup tanduk tanpa permit yang sah.

"Ini adalah hukuman paling berat yang dijatuhkan di Singapura setakat ini bagi kes yang melibatkan penyeludupan bahagian hidupan liar," kata Lembaga Taman Negara Singapura (NParks) dalam satu kenyataan pada Jumaat.

NParks berkata, selepas menjalani analisis forensik, 18 tanduk didapati daripada 15 ekor badak putih berbeza, manakala dua lagi daripada seekor badak hitam.

Badak sumbu dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) dan perdagangan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Afrika Selatan merupakan rumah kepada hampir 80 peratus badak sumbu dunia dan merupakan kawasan tumpuan pemburuan haram, didorong oleh permintaan tinggi daripada negara di Asia Tenggara.

Kerajaan Afrika Selatan berkata, kira-kira 448 daripada badak sumbu dibunuh di seluruh negara pada 2022.

Tanduk badak dianggap sebagai simbol status dan dipercayai mempunyai khasiat perubatan.

Selain itu, ia juga diukir menjadi barang kemas dan barangan rumah termasuk sikat, butang dan kepala tali pinggang. - AFP