Lantikan politik tiada pencen bukti kerajaan ‘cakap serupa bikin’

Haziq Azfar (kiri), Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Haziq Azfar (kiri), Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan skim tidak berpencen penjawat awam baharu turut terpakai bagi pelantikan politik membuktikan kerajaan ‘cakap serupa bikin'.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak berkata, ia juga menjadi tamparan hebat terhadap sesetengah figura politik yang bersuara berkaitan pencen ahli politik hanya selepas kehilangan kuasa tetapi berpeluk tubuh sewaktu di puncak kuasa.

“Perbincangan terkait pemansuhan pencen yang cukup mewah buat ahli politik telah lama menjadi polemik.

“Kini ditamatkan dengan keputusan Kerajaan Perpaduan yang nyata mempunyai iltizam yang sangat tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Anwar menegaskan pelaksanaan skim tidak berpencen bagi penjawat awam baharu terpakai turut bagi pelantikan politik.

Beliau yang bersetuju keputusan itu secara berprinsip berkata, ia termasuk bagi ahli politik yang dilantik memegang jawatan dalam Jemaah Menteri, menteri besar termasuk wakil rakyat.

Mengulas lanjut keputusan berkenaan, Anwar menegaskan ia tiada masalah dilaksanakan untuk menyesuaikan dengan pelantikan membabitkan ahli politik.

Tambah Haziq, pelaksanaan tersebut disambut baik sebagai solidariti pimpinan politik untuk turut serta mengurangkan beban dan membantu kerajaan mengurus kewangan secara berhemah.

Artikel Berkaitan:

"Ia supaya pimpinan politik menjalani kehidupan sama seperti rakyat biasa, di samping mencerminkan pemakaian keputusan dan dasar kerajaan terhadap semua golongan tanpa mengira darjat," ujarnya.