'Pulau Pinang 4 hari tiada air kecoh, Sabah tiap hari catu air' - Armizan

Armizan (dua dari kiri) ketika meninjau perkembangan LRA Kogopon Fasa 2, Papar.
Armizan (dua dari kiri) ketika meninjau perkembangan LRA Kogopon Fasa 2, Papar.
A
A
A

PAPAR - Sabah berpeluang untuk menjadi sebuah negeri perindustrian jika masalah bekalan air dan elektrik di negeri ini dapat diselesaikan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, beliau yakin potensi itu lebih besar daripada negeri di Semenanjung jika dua masalah itu diberi tumpuan oleh semua pihak.

Tegasnya, isu infrastruktur di Sabah harus diberi perhatian sewajarnya termasuk daripada media seperti apa yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini.

"Apabila Pulau Pinang ada masalah air baru-baru ini untuk kerja penyelenggaraan dan telah dimaklumkan kepada penduduk bahawa ada notis gangguan bekalan air selama empat hari, kecoh satu Malaysia keluar di (TV) televisyen sana, sini dan media.

"Itu empat hari saja, kita di sini setiap hari bercatu air tetapi tidak mendapat perhatian sewajarnya. Orang kata, di Pulau Pinang selain kepentingan untuk rakyat, di sana ada industri. Kalau tiada air industri akan rugi, negara akan rugi.

"Jadi saya mahu katakan, walaupun di Sabah ini industri tidak banyak tetapi sebab isu asas ini tidak selesai maka industri tidak mahu datang.

"Bayangkan kalau kita selesaikan masalah air dan elektrik, saya pasti potensi Sabah lebih besar daripada negeri-negeri di Semenanjung dan lebih ramai pelabur akan datang menyumbang pelaburan ke sini yang bukan saja memberi manfaat kepada kerajaan negeri tetapi kepada kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas meninjau perkembangan projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2 di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Armizan berkata, jika projek tersebut dapat disiapkan dengan cepat ia akan mampu menampung kawasan perindustrian di Putatan dan kawasan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis.

"Sejak diamanahkan menjadi Ahli Parlimen Papar, saya telah empat kali turun ke LRA Kogopon iaitu bulan Februari, Jun dan Ogos tahun lalu dan hari ini. Jadi hasil taklimat perkembangan projek telah mencapai 4.48 peratus di mana tarik siap yang dijadualkan adalah pada Ogos 2026 iaitu dalam tempoh tiga tahun.

"Namun projek ini amat penting kerana secara keseluruhannya akan meningkatkan kapasiti daripada 40 juta liter sehari yang sedia ada kepada 80 juta liter sehari yang bukan hanya boleh menampung keperluan dalam Parlimen Papar tetapi juga boleh menampung kawasan Ulu Kimanis termasuk SOGT dan kawasan selatan Parlimen Putatan serta Kem Lok Kawi yang turut terkesan dengan isu masalah air.

"Jadi walaupun projek ini mengambil tempoh sehingga tiga tahun tetapi kalau boleh saya minta satu tahun setengah untuk diberi tumpuan kepada siapkan loji rawatan itu terlebih dahulu untuk disalurkan kepada paip sedia ada dan diagihkan kepada pengguna," katanya.