Ringgit dibuka rendah susulan permintaan dolar AS meningkat

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain. - Gambar hiasan
Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga Jumaat selepas permintaan terhadap mata wang negara maju itu meningkat, didorong oleh angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menunjukkan ekonomi AS tumbuh 2.5 peratus pada 2023, peningkatan ketara daripada 1.9 peratus pada 2022.

Pada 9.05 pagi ini, ringgit turun ke paras 4.7360/7400 berbanding dolar AS daripada 4.7280/7350 pada akhir urus niaga Rabu.

Pasaran ditutup pada Khamis bersempena cuti Thaipusam.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, di sebalik persepsi bahawa prestasi ekonomi AS yang kukuh akan meningkatkan lagi dolar AS, kesan keseluruhannya terhadap pasaran mungkin tidak ketara bagi tempoh selepas itu.

"Pasaran pertukaran asing (FX) lebih menumpukan data-data kritikal seperti harga, terutamanya menjelang pengumuman maklumat seperti Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) teras AS pada 26 Jan, 2024 dan Indeks Harga Pengguna (IHP) Januari yang dijangka diumumkan pada 13 Feb, 2024.

"Jangkaan bagi PCE teras untuk Disember kekal terkawal dengan unjuran kenaikan 0.2 peratus bagi bulan ke bulan, seiring dengan keutamaan Rizab Persekutuan AS terhadap metrik inflasi," katanya kepada Bernama.

Selain itu, jelas Innes, pengumuman angka IHP Januari pada awal Februari akan turut menyuntik risiko selanjutnya dalam pasaran.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Artikel Berkaitan:

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 6.0166/0217 daripada 6.0343/0433 dan mengukuh berbanding euro kepada 5.1343/1386 daripada 5.1540/1616 pada Rabu.

Unit tempatan itu bagaimanapun susut berbanding yen Jepun kepada 3.2091/2120 daripada 3.2043/2093, sebelum ini.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit diniagakan lebih mengukuh.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.5322/5355 daripada 3.5331/5386 dan naik berbanding baht Thailand kepada 13.2379/2576 daripada 13.2493/2745, sebelum ini.

Malah, ia juga mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.38/8.39 daripada 8.39/8.41 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 299.2/299.6 daripada 300.9/301.4, sebelum ini. - Bernama