Tangguh PSP: Pandangan berbeza pakar ekonomi

A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) bulan ini telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada pakar ekonomi.

Dalam kenyataan pada 30 Disember lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, penangguhan itu bertujuan memberi ruang untuk sesi penerangan dan penjelasan diteruskan di samping memberi kefahaman dan mempersiapkan rakyat bagi menerima pelaksanaan program tersebut.

KPDNHEP berkata, keputusan itu turut memberi ruang kepada proses pendaftaran penerima subsidi daripada kelompok M40 yang akan dikendalikan oleh Kementerian Kewangan.

Pada 1 Januari 2020, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula berkata, penangguhan pelaksanaan PSP adalah kerana kerajaan bimbang pengapungan harga petrol akan menyebabkan kenaikan kos sara hidup rakyat.

Ketua Pakar Ekonomi, Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid turut senada dengan sentimen yang dibangkitkan oleh Guan Eng dengan berkata, penangguhan program itu akan membantu mengurangkan kenaikan kos sara hidup memandangkan harga petrol RON95 akan naik sekiranya PSP diteruskan.

Buat masa ini, beliau mencadangkan kerajaan merangka formula berkesan untuk memastikan subsidi hanya akan diberikan kepada golongan yang benar-benar layak seperti mereka daripada kumpulan berpendapatan rendah atau dikenali sebagai B40.

“Pangkalan data mengenai kumpulan berpendapatan rendah perlu diperhalusi untuk memastikan hanya mereka yang layak dapat menikmati pemberian subsidi itu menerusi mekanisme pengeluaran yang cepat dan cekap,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, kerajaan mesti memberikan penjelasan lebih jelas mengenai pelaksanaan PSP.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan sedia ada khususnya Akta Kawalan Harga 1946 perlu diperketat untuk menyekat peniaga yang tidak bertanggungjawab daripada mengambil kesempatan daripada PSP melalui pencatutan dan penyelewengan.

Sementara itu, dalam temu bual menerusi e-mel, Ketua Penyelidikan Ekonomi ASEAN, RHB Investment Bank Bhd, Peck Boon Soon berkata, beliau terkejut mengetahui penangguhan itu.

"Pelabur pada umumnya tidak menyukai ketidakpastian," katanya.

Pakar Ekonomi Kanan, United Overseas Bank (Malaysia), Julia Goh pula memberi pandangan berbeza dengan berkata, keputusan penangguhan PSP bukanlah satu kejutan besar kerana isu kenaikan kos sara hidup masih membelenggu kehidupan ramai rakyat Malaysia.

Tambahan pula, Keluaran Dalam Negara Kasar keseluruhan menunjukkan pertumbuhan ekonomi perlahan pada suku ketiga 2019, dalam usaha kerajaan mengimbangi pertumbuhan dan mengukuhkan kedudukan fiskal.

“Walaupun jika PSP ditangguhkan, kami masih menjangkakan inflasi keseluruhan akan meningkat pada 2020 terutama disebabkan kesan asas, pelarasan yang dirancang ke atas tarif air di seluruh negara serta potensi langkah mengimbangi kenaikan kos daripada gaji minimum lebih tinggi di 57 bandar,” katanya.

Julia mengunjurkan inflasi meningkat kepada 2.5 peratus pada 2020 berbanding jangkaan 0.7 peratus tahun lepas.

"Bagaimanapun kerajaan masih boleh menangguhkan pelaksanaan PSP memandangkan harga minyak mentah Brent kini pada AS$68 setong, lebih tinggi daripada jangkaan belanjawan pada AS$62 setong," katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji PSP yang bersasar oleh kerajaan kerana ia dilihat lebih cekap berbanding pelaksanaan subsidi secara 'blanket' iaitu semua dapat.

Ketua Pakar Ekonomi IQI Global, Shan Saeed berkata, pertimbangan kerajaan mengenai pelaksanaan PSP melibatkan faktor termasuk prestasi ekonomi global, kesan perang perdagangan, geopolitik dan pergerakan harga bahan api.

“Mereka perlu meneliti semula aspek fiskal dalam lembaran imbangan sebelum membuat pengumuman mengenai PSP,” katanya. - Bernama