Nafas harap tender bekalan baja disegerakan

Zamri (tengah) melawat kilang baja di Gurun Kedah yang mampu mengeluarkan kira-kira 310,000 tan metrik baja setahun.
Zamri (tengah) melawat kilang baja di Gurun Kedah yang mampu mengeluarkan kira-kira 310,000 tan metrik baja setahun.
A
A
A

GURUN - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berharap agar kerajaan menawarkan tender secara rundingan terus sekali gus membolehkan baja subsidi diagihkan kepada petani seluruh negara tahun ini.

Pengerusi Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, setakat ini beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Selangor dan Perak telahpun memulakan musim penanaman padi tahun ini.

"Apabila penanaman padi bermula dan benih padi sudah ditabur, petani perlukan baja.

"Kita di Nafas yang mempunyai kilang baja terbesar di Malaysia berupaya mengeluarkan sebanyak 310,000 tan metrik baja setahun.

"Setakat ini, terdapat sejumlah 35,000 tan metrik bekalan baja di kilang yang sedia untuk diagihkan ke seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di kilang Malaysian NPK Fertilizer di sini pada Rabu.

Zamri menunjukkan slogan 'zero late' sebagai jaminan tiada kelewatan penghantaran baja ke seluruh negara mengikut permintaan.
Zamri menunjukkan slogan 'zero late' sebagai jaminan tiada kelewatan penghantaran baja ke seluruh negara mengikut permintaan.

Hadir sama, Ahli Pengarah Jemaah Nafas, Datuk Aimi Jusoh.

Menurutnya, keperluan baja untuk dibekalkan kepada kira-kira 200,000 pesawah ialah lebih kurang 240,000 tan metrik setahun.

Artikel Berkaitan:

"Bekalan baja ketika ini cukup banyak sehinggakan kita terpaksa hentikan sementara pengeluaran sejak seminggu lalu susulan tiada ruang lagi untuk penyimpanan," katanya.

Zamri dalam masa sama memberi jaminan bahawa, tidak akan berlaku kelewatan terhadap penghantaran bekalan baja mengikut permintaan ke seluruh negara selaras dengan slogan 'zero late'.

"Sebanyak 30 buah lori boleh digerakkan dalam sehari dan setiap lori berupaya memuatkan sebanyak 25 tan...dianggarkan hampir 1,000 tan mampu diagihkan sehari ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang membuat tempahan.

"Ini antara langkah yang kita ambil bagi memastikan tidak berlaku kelewatan pengagihan baja seperti yang pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, Malaysian NPK Fertilizer di Gurun telah beroperasi sejak 2005 dan sejak itu mula mengeluarkan baja untuk diagihkan kepada petani dan peladang seluruh negara.